KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat menyifatkan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 bagi mengekang berita tidak benar sebagai cubaan untuk menafikan hak rakyat untuk bebas bersuara.
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid mendakwa, ordinan ini tidak lebih hanya menghalang rakyat daripada mempersoalkan tindakan kerajaan khususnya melibatkan isu darurat.
“Ordinan ini dipercayai satu gerakan membuatkan rakyat untuk tidak mempersoalkan sebarang perkara terutamanya berkenaan darurat.
“Saya percaya dari segi perundangannya mempunyai implikasi yang amat besar terhadap hak rakyat bersuara dan hak-hak lain dalam Perlembagaan,” katanya pada sidang media di Kg Bharu, hari ini.
Semalam, kerajaan telah mewarta ordinan bagi mengekang berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan Covid-19 dan proklamasi darurat yang berkuat kuasa tengah malam tadi.
Ia sekali gus memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang cuba menyiar serta menyebarkan berita tidak benar khususnya di media sosial.
Ordinan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.
Bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Mengikut ordinan itu, ‘berita tidak benar’ termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.
Muhammad Rafique tidak menolak kemungkinan ordinan itu akan dicabar di mahkamah susulan ia didakwa melanggar hak rakyat bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ordinan tersebut mempunyai peruntukan jelas bercanggah dengan beberapa provision atau perkara dalam akta keterangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette