KUALA LUMPUR – Nilai jualan perdagangan borong dan runcit merekodkan RM111.7 bilion pada Januari 2021, merosot 2.7 peratus tahun ke tahun kerana kenderaan bermotor yang menguncup 13.8 peratus atau RM1.7 bilion kepada RM10.6 bilion.
Perdagangan Runcit turut susut sebanyak RM1.2 bilion atau -2.5 peratus kepada RM45.6 bilion.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, Perdagangan Borong juga menunjukkan trend sama dengan penurunan sebanyak RM0.2 bilion atau -0.4 peratus kepada RM55.4 bilion.
Sementara itu, nilai jualan bulan ke bulan menurun 3.3 peratus pada Januari 2021 selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) di enam negeri bermula 13 Januari 2021.
Menurutnya, bagi kenderaan bermotor, penurunan dua digit -13.8 peratus disebabkan oleh jualan kenderaan bermotor yang menjunam 17.6 peratus kepada RM5.3 bilion pada bulan ini, diikuti oleh jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor yang jatuh -9.3 peratus untuk merekodkan RM2.9 bilion.
Penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor juga menyusut -9.5 peratus kepada RM1.5 bilion.
Pada tempoh yang sama, jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal turut merekodkan penurunan dengan catatan -11.1 peratus kepada RM0.9 bilion.
Bagi perdagangan runcit, kejatuhan 2.5 peratus disebabkan oleh jualan produk bukan keperluan iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan dengan -7.0 peratus, jualan runcit barangan isi rumah -4.6 peratus dan jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi -5.1 peratus.
”Walau bagaimanapun, jualan barangan keperluan menunjukkan peningkatan iaitu jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang mencatatkan 1.4 peratus kepada RM16.6 bilion tahun ke tahun, diikuti oleh jualan runcit makanan, minuman dan embakau yang meningkat 6.0 peratus kepada RM2.9 bilion.
”Jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar turut berkembang 9.0 peratus kepada RM0.4 bilion diikuti oleh jualan runcit di gerai dan pasar yang naik 5.6 peratus kepada RM0.1 bilion,” jelas beliau.
Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan borong, beliau berkata, kejatuhan 0.4 peratus tahun ke tahun pada Januari 2021 disebabkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang merosot 4.9 peratus diikuti oleh jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup dan jual borong Berdasarkan
Kontrak atau yuran yang menurun masing-masing -6.0 peratus dan -4.7 peratus.
Sebaliknya, jualan borong makanan, minuman & tembakau meningkat 4.9 peratus kepada RM10.7 biliondiikuti oleh jualan borong barangan isi rumah yang naik 4.2 peratus kepada RM11.6 bilion.
Jualan borong jentera, peralatan & bekalan juga berkembang 2.7 peratus tahun ke tahun untuk menjana jualan sebanyak RM4.8 bilion.
Bagi perbandingan bulan ke bulan yang mencatatkan penurunan -3.3 peratus, ia disebabkan oleh kenderaan bermotor yang merudum 20.5 peratus atau penurunan RM2.7 bilion.
Perdagangan runcit turut susut RM1.2 bilion atau -2.6 peratus.
Walau bagaimanapun, perdagangan borong naik RM0.1 bilion atau 0.2 peratus pada tempoh yang sama.
Indeks jualan runcit dalam talian yang menggambarkan aktiviti e-dagang turut melonjak dengan merekodkan pertumbuhan 28.7 peratus tahun ke tahun manakala indeks jualan runcit dalam talian pelarasan musim naik 0.5 peratus berbanding bulan sebelum.
Manakala bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit mencatatkan kejatuhan -2.9 peratus tahun ke tahun disebabkan oleh kenderaan bermotor yang menurun 13.1 peratus.
Ini diikuti oleh perdagangan runcit dan perdagangan borong masing-masing -3.2 peratus dan -0.1 peratus. – MalaysiaGazette