Home Nasional Pindahkan kes liwat Iki Putra ke mahkamah syariah – NGO

Pindahkan kes liwat Iki Putra ke mahkamah syariah – NGO

Sebahagian ahli NGO memegang poster menyokong laporan polis yang dibuat penguatkuasa JAIS mengenai kes Iki Putra Mubarak di IPD Kajang,Selangor. Foto FIKRI YAZID, 12 MAC 2021.

KAJANG – Sebanyak 21 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendesak agar kes melibatkan Iki Putra Mubarak yang dituduh dengan kesalahan cubaan melakukan persetubuhan di luar tabii terus disiasat di bawah Kanun Keseksaan.

Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) dan Persatuan Intelektual Muslim Malaysia antara lain turut mendesak agar kes ini dibicarakan di mahkamah syariah.

Menurut jurucakapnya, Marwan Mohd Khir, pihaknya kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu yang memutuskan bahawa peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berhubung dengan kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii adalah tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan.

“Iki Putra dan pihak lain yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral ini tidak wajar dibiarkan begitu sahaja. Ini kerana tindakan persetubuhan luar tabii adalah kesalahan yang besar di sisi agama Islam dan ia juga sangat bertentangan dengan moral dan norma hidup masyarakat di Maiaysia.

“Kegiatan tidak bermoral ini perlu disekat, dihalang dan ditolak lengkap oleh semua masyarakat di Malaysia amnya dan umat Islam khasnya,” katanya selepas membuat laporan polis berhubung isu itu hari ini.

Laporan polis itu bagi menyokong satu lagi laporan polis yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Iki Putra.

Setiausaha Kerja Persatuan Intelektual Muslim Malaysia Marwan Mohd Khir menunjukkan laporan polis yang di buat kepada media mengenai kes Iki Putra Mubarak di IPD Kajang,Selangor. Foto FIKRI YAZID, 12 MAC 2021.

Dalam pada itu, NGO berkenaan mendesak agar siasatan menyeluruh dibuat pihak berkuasa bagi memastikan pihak-pihak yang terlibat dengan kegiatan tidak bermoral ini dapat dihadapkan ke muka pengadilan dengan kadar segera.

“Kami juga mendesak agar kerajaan tidak berganjak dan kekal dengan pendirian yang menolak sebarang bentuk amalan ideologi golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) kerana mereka melanggar fitrah manusia dari perspektif agama dan juga sains yang pasti tidak sesuai untuk diamalkan di negara Malaysia yang berpegang teguh kepada nilai-nilai moral berlandaskan adat, budaya dan agama,” kata Marwan lagi.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof juga mahu kes melibatkan Iki Putra Mubarak yang dituduh dengan kesalahan cubaan melakukan persetubuhan di luar tabii terus disiasat oleh polis di bawah Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 25 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang Iki Putra Mubarak terhadap Seksyen 28 EJSS Selangor 1995 dan sekaligus mengenepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor. – MalaysiaGazette