KUALA LUMPUR – Selain permulaan cemerlang penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC, prestasi pegawai perlawanan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bermula 5 Mac lepas turut mencuri perhatian ramai.
Antara yang dipersoalkan pelbagai pihak sepanjang minggu pertama Liga-M berlangsung adalah insiden pengadil Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin ditolak pemain Kelantan FC Jack Hindle ketika mengendalikan aksi Liga Premier antara Kelantan FC dan Perak FC II di Stadium Muhammad ke-IV, Kota Bharu, berikutan Mohd Amirul diikatakan berada pada kedudukan yang menghadang Hindle untuk melakukan percubaan dalam kawasan penalti.
Minggu kedua, isu mutu pengadilan sekali lagi dibangkitkan susulan kontroversi sepakan penalti diberikan pengadil berpengalaman Mohd Fairuzi Mat Desa ketika Melaka United FC berjaya mengikat Petaling Jaya City FC 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Bekas pengadil elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan kebangsaan Subkhiddin Mohd Salleh tampil mempertahankan keseluruhan mutu pengadilan sambil menyifatkan insiden yang berlaku adalah kes terpinggir yang tidak seharusnya menjejaskan prestasi pengadil secara keseluruhan.
“Insiden di pantai timur melibatkan pengadil muda yang sedang diketengahkan dan prestasi beliau secara keseluruhannya adalah baik.
“Cuma isu terpencil iaitu keberadaannya pada posisi yang mengganggu tumpuan pemain yang berpeluang melakukan sesuatu untuk pasukan, telah menyebabkan prestasinya secara keseluruhan menjadi tumpuan,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Bagi perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, tenaga pengajar bahagian teknikal pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berusia 54 tahun itu berkata ia melibatkan aksi ‘simulasi oleh seorang pemain berbakat’ yang berjaya memperdayakan seorang pengadil senior.
Selain dua insiden tersebut, dalam satu lagi insiden melibatkan pemain JDT, Ignacio Natxo Insa yang dikatakan bernasib baik apabila terlepas daripada dilayangkan kad merah oleh S.Logeswaran selepas berkelakuan ganas menyiku pemain Penang FC Anselmo Casagrande pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Sementara itu, Subkhiddin yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memuji prestasi pegawai perlawanan Muhammad Nazmi Nasaruddin ketika mengendalikan pertembungan Piala Sumbangsih antara JDT dan Kedah Darul Aman FC.
“Prestasi beliau dalam perlawanan ini merupakan penanda aras yang perlu diingati oleh semua pengadil,” katanya.
Pada masa sama, beliau memuji langkah Jabatan Pengadil FAM yang mempertaruhkan beberapa muka baharu sebagai pengadil utama Liga-M khususnya dalam Liga Premier musim ini.
Katanya langkah itu akan mewujudkan persaingan sihat yang secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti tugasan setiap pengadil.
“Keputusan ini sudah pastinya akan memberikan impak positif kepada semua pengadil senior khususnya untuk lebih berusaha bagi memastikan prestasi mereka terjamin cemerlang,” katanya.
Dalam pada itu, Subkhiddin yakin prestasi pengadil tempatan akan semakin ke hadapan, namun dengan syarat FAM perlu melabur mengadakan lebih banyak perjumpaan bersama pengadil dan penilai pengadil bagi mengemaskinikan falsafah kepengadilan yang ingin diterapkan FAM.- BERNAMA