KUALA LUMPUR – DAP mengecam hukuman berat dan peruntukan kuasa yang terlalu luas berhubung berita palsu yang berkaitan dengan Covid-19 atau Proklamasi Darurat di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (No. 2) 2021 yang berkuatkuasa semalam.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, memberi kuasa yang besar bermakna kerajaan akan memutuskan apa itu berita palsu dan siapa yang boleh didakwa atas kesalahan tersebut dengan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Menurut beliau, pengembangan definisi luas berita palsu yang merisaukan itu melanggar hak Perlembagaan terhadap kebebasan bersuara serta kebebasan akhbar dan harus dibahaskan dan diluluskan di Parlimen.
”Sayangnya, Parlimen masih digantung walaupun Yang di-Pertuan Agong sudah bertitah bahawa Proklamasi Darurat tidak menghalang mesyuarat Parlimen daripada bersidang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hakikatnya, menurut Ahli Parlimen Bagan itu, Proklamasi Darurat tidak menghalang Parlimen untuk menjalankan fungsinya, kuasa perundangan dan semak imbang kerajaan.
Malah, tidak ada alasan munasabah mengapa hanya Parlimen tidak boleh dibuka ketika semua pertubuhan perniagaan dan sekolah di Malaysia sudah dibuka.
Tetapi dakwanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tegas menolak untuk mendengar suara jelas dan tegas daripada majoriti anggota Parlimen, baik dari pembangkang mahupun parti pemerintah, bahawa Parlimen perlu segera bersidang kembali.
Soalnya, bagaimana undang-undang berita palsu yang baru ini mendorong pemberi maklumat untuk mendedahkan penyelewengan dan kesalahan, termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan langkah-langkah Covid-19 dan Proklamasi Darurat yang menggantung Parlimen, katanya.
”Nampak seperti ada pertentangan yang jelas dan begitu jauh berbeza dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang bertujuan untuk memerangi rasuah dan kesalahan lain dengan mendorong dan memudahkan pendedahan tingkah laku yang tidak wajar di sektor awam dan swasta dan untuk melindungi pihak yang membuat pendedahan tersebut dari tindakan yang memudaratkan mereka.
”Undang-undang berita palsu ini juga akan menyekat kebebasan hak asasi, terutama membungkam hak demokratik untuk tidak bersetuju dengan kerajaan.
”Sebagai contoh, jika Perdana Menteri tidak berpuas hati dengan kononnya tuduhan palsu terhadapnya, beliau boleh mengajukan tuntutan saman fitnah yang telah pernah dilakukannya.
”Perdana Menteri masih boleh bertindak terhadap tuduhan jahat di bawah undang-undang yang sedia ada yang lebih dari mencukupi hukumannya dari segi denda atau bahkan penjara seperti Kanun Keseksaan atau Akta Komunikasi dan Multimedia. Tidak perlu menakutkan rakyat dengan ordinan undang-undang berita palsu yang baharu,” ujarnya.
Tambah Guan Eng, tafsiran yang terlalu luas seperti itu akan terdedah kepada salah guna seperti yang ditunjukkan oleh amalan dua darjat dalam melaksanakan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan atau SOP Covid-19 antara menteri dan rakyat biasa.
Dakwa beliau, undang-undang berita palsu baru ini boleh membahayakan portal berita atas talian yang bebas dan berkecuali, yang menawarkan pandangan alternatif kepada media arus perdana kerajaan. – MalaysiaGazette
Berani kerana berita benar, takut kerana berita palsu.
Rakyat tak takut pun..
Yang takut kaki kencing n kaki pusing n kaki buat cerita macam anjing2 pkr, amanah n DOGGIE DAP