Home Politik Tiada lagi kerusi tradisi, Gerakan mahu pastikan PN menang – Dominic

Tiada lagi kerusi tradisi, Gerakan mahu pastikan PN menang – Dominic

Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyampaikan ucapan pada Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Tiada lagi kerusi tradisi mahupun otai kawasan bagi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebaik sahaja menganggotai Perikatan Naisonal (PN) pada 11 Februari lalu.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau menjelaskan, parti itu menyerahkan soal kerusi baik peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada pucuk pimpinan PN.

Sebaliknya Gerakan telah berikrar untuk memastikan mana-mana calon PN yang bertanding dalam PRU-15 akan datang menang dengan selesa.

“Tugas pertama yang menjadi keutamaan bagi kita ialah memastikan PN menang dalam PRU-15.

“Saya pun telah beri arahan kepada semua lapisan pemimpin-pemimpin Gerakan sama ada Negeri dan Bahagian bahawa semua kerusi dan kedudukan, kita serahkan kepada PN untuk memutuskannya.

“Selepas ini kita tidak lagi bercakap soal kerusi lagi, sudah tentu kita serahkan kepada PN pusat membuat keputusan. Walaupun kita dalam PN pusat tapi semua keputusan itu akan dibuat oleh Majlis Presiden PN,” katanya pada sidang media di Menara PGRM, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Gerakan secara maya di ibu pejabat Gerakan di Menara PGRM hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong.

Sebelum, semasa Gerakan merupakan rakan komponen Barisan Nasional (BN), parti itu bertanding di 12 kerusi Parlimen dan 33 DUN.

Dalam pada itu, Dominic tidak menafikan masih wujud stigma dalam kalangan pemimpin parti itu mengenai kerusi tradisi di sesuatu kawasan perlu ditandingi Gerakan.

“Pemikiran sebegini perlu diubah, kita tak boleh ada persepsi ini, kemungkinan kita akan bertanding lebih lebih atau kurang kerusi berbanding sebelum ini pada PRU-14.

“Lebih atau kurang kerusi ini bukan keutamaan kami, yang penting kita kena pastikan PN menang dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Dominic tidak menolak kemungkinan Gerakan akan meletakkan keutamaan kawasan bertanding di Pulau Pinang sebagai simbolik kepada tempat lahirnya parti itu pada PRU-15.

“Pulau Pinang adalah negeri yang jadi sasaran utama Gerakan sebagai kawasan bertanding. Semasa ucapan, Perdana Menteri pun menyedari penubuhan parti ini sejak 1968 hingga ke hari ini.

“Sebab itu sejarah Gerakan ditubuhkan di Pulau Pinang, kita memang ketua menteri selama 39 tahun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette