Home Eksklusif Hendak pegang anak sendiri pun tak boleh – Sutun

Hendak pegang anak sendiri pun tak boleh – Sutun

Bekas banduan yang mahu dikenali sebagai Sutun yang menjadi peserta Program i-Kembali di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor baru-baru ini. Foto FAREEZ FADZIL.

KUALA LUMPUR – Kesalahannya menagih dadah sudah pun mendapat hukuman di dunia namun stigma masyarakat terhadap bekas penghuni jeriji besi masih belum berubah.

Lebih malang apabila ahli keluarga sendiri tidak mengakui mereka darah daging sendiri malah dihalau pula sehelai sepinggang.

Bagai jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib seorang ibu muda yang dibebaskan dari Penjara Tapah, Perak pada Mei tahun lalu.

Beliau yang berusia 25 tahun itu kini terpaksa bergelut untuk meneruskan hidup tanpa sokongan ibu bapa dan adik-beradik yang selama ini menjadi tanggungannya.

Menurut Sutun (bukan nama sebenar), hidupnya gelap bagai tiada masa depan apabila kepulangannya tidak dialu-alukan seolah-olah segala memori bersama keluarganya di Kuala Kangsar itu terpadam sekelip mata.

Peserta Program i-Kembali dikenali Sutun membuat kerja-kerja harian memasak di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor baru-baru ini. Foto FAREEZ FADZIL.

Bukan sahaja kain baju, gambar bersama keluarga bahkan sijil kelahiran dan sijil cerai perkahwinan turut dimusnahkan selepas ibunya membakar kesemuanya yang disaksikan dengan mata kepala Sutun sendiri.

“Gambar saya masa kecil pun habis mereka buang, sampai mereka cakap, kalau kau jejak rumah ini siap nanti. Apa yang mereka nak…semua saya bagi, takkan disebabkan saya bekas banduan, mereka tak boleh terima saya?

“Ibu anggap saya tak wujud lagi dekat rumah itu, lepas itu saya balik dekat rumah ayah saya, pun sama juga. Saya nak pegang anak saya sendiri pun tak boleh, saya tengok anak dari jauh saja.

“Kenapalah korang buat aku macam ini, apa salah aku, takkan benda kecil macam itu pun kau nak hina aku. Sebab itu saya keluar sehelai sepinggang,” luah Sutun kepada MalaysiaGazette yang ditemui di Ghullam Recovery Care Centre (GRCC) di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, baru-baru ini.

PENJARA 11 BULAN

Sutun sebelum itu dihukum penjara selama 11 bulan di Penjara Tapah selepas terlibat dengan penyalahgunaan dadah jenis syabu.

Bagaimanapun ibu muda itu dikurangkan hukuman menjadi sembilan bulan dan kini menyertai program i-Kembali iaitu satu platform bertindak sebagai pemudah cara bagi menghubungkan bekas banduan, orang diparol dan orang diselia dengan bakal majikan.

Bekas banduan yang mahu dikenali sebagai Sutun yang menjadi peserta Program i-Kembali di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor baru-baru ini. Foto FAREEZ FADZIL.

Dugaan yang terpaksa ditempuhi Sutun tidak terhenti di situ bahkan sejak dia dibebaskan sejak Mei tahun lepas, cubaan untuk kembali kepada masyarakat juga tidak diterima.

Ini kerana Sutun beberapa kali dibuang setelah bekas majikannya mengetahui dirinya seorang bekas banduan dan pemberhentian itu dibuat tanpa alasan munasabah.

“Memang saya tak boleh terima, memang betul salah saya, sebab saya penagih sebelum ini, sekurang-kurangnya bagilah peluang. Tak semestinya bila kita bebas dari penjara, kita akan menghisap balik.

“Bila saya tanya (bekas majikan) tak ada apa, berhenti saja, saya tak nak ada penagih kat sini, saya tak nak syarikat ini kotor.

“Saya cakap dalam hati, habis peluang, hancur berkecai. Memang saya nak pulih, bagi saya peluang, saya tak nak benda-benda itu berlaku, cukuplah sekali, saya dah serik,” kesalnya.

JADI MANGSA PENIPUAN

Sutun juga pernah dijanjikan pekerjaan hingga membawanya ke Kuala Selangor namun ia hanya janji semata-mata.

Malah dia pula menjadi mangsa penipuan apabila kad pengenalannya digunakan rakannya untuk membuat pinjaman wang dengan syarikat kredit tidak berlesen.

“Habis duit semua, sebelum ini saya dan kawan bawa RM2,000 kumpul duit KWSP dari tiga jadi dua minggu tunggu di bilik hotel di Kuala Selangor.

“Sebenarnya dia tipu saya dan kawan saya, dia ada ambil kad pengenalan saya dan kawan saya, tangkap gambar depan belakang. Rupa-rupanya dia ambil kad pengenalan saya, dia pinjam duit dekat ah long sebanyak RM30,000.

“Ah long ada telefon tanya bila nak bayar, saya cakaplah saya bukan keluarga dia pun. Sebab itu kami tak berani datang Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Lebih memeritkan apabila Sutun dicemuh dan dihina oleh kawan-kawannya ketika berada di tempat awam ketika dia tinggal di rumah sewanya di Meru, Perak.

“Lepas itu balik Perak duduk bilik sewa, bilik tinggal situ…kawan cakap dia pernah nampak saya, engkau ini bekas banduan, depan orang ramai, orang tengok saya atas bawah, malulah saya, masa itu dalam rumah sewa, lepas itu di kedai makan.

“Dia kata, Sutun marilah sini, aku ada barang ini, dia cakap kuat-kuat, malulah saya, sampai bila macam ini,” luahnya.

Peserta Program i-Kembali dikenali Sutun membuat kerja-kerja harian memasak di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor baru-baru ini. Foto FAREEZ FADZIL.

Memandangkan kejiranan sekitar rumah sewanya ramai penagih dan pengedar bahan terlarang itu, Sutun mengambil keputusan untuk memutuskan rangkaian jenayah itu dengan berhijrah ke Lembah Klang bagi memulakan hidup baharu.

“Semasa saya duduk di flat Sentosa Dua, Setiawan…..semua penghuni di situ yang saya tak boleh nak masuk…ada sahaja barang (dadah) lalu depan mata saya.

“Saya pun terpaksa kurung diri saya…keluar pun pergi kedai beli top up (tambah nilai pra bayar) dan makan, keluar pun sekadar lepak-lepak. Kalau mereka datang ke rumah, saya tutup pintu sebab saya nak mengelak benda (dadah) itu,” katanya.

PULIH MELALUI I-KEMBALI

Penyertaan Sutun dalam program i-Kembali sebenarnya bermula daripada pelawaan kawannya yang sama-sama menjalani hukuman di Penjara Tapah namun selepas beberapa bulan dipujuk, barulah dia menyertainya program kendalian Datuk Seri Murni Sheikh Ahmad itu.

Peserta Program i-Kembali dikenali Sutun membuat kerja-kerja harian memasak di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor baru-baru ini. Foto FAREEZ FADZIL.

“Kawan saya cakap, masa depan saya masih cerah lagi…saya cakap bagi saya masa…kawan saya cakap kita duduk sini tak guna juga.

“Masuk i-Kembali terasa diri dihargai, kadang-kadang tertanya juga kenapa keluarga tak macam ini, sambut kita, ini tiba-tiba datang, buang kain baju, tak nak bincang.

“Masa Datuk Seri Murni sambut saya depan pintu penjara…rasa nak menangis pun ada juga, orang lain yang sambut kita, bukan keluarga,” katanya.- MalaysiaGazette