KUALA LUMPUR – Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak memandang ke belakang apabila terus meraih kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan UiTM FC 4-0 di sini, malam tadi.
Ini menyaksikan skuad Harimau Selatan mengutip sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan, sekali gus membuktikan kewibawaan mereka selaku juara bertahan.
Malang buat UiTM FC, ini adalah kekalahan ketiga berturut-turut mereka selepas kecundang di tangan Terengganu FC (TFC) dan KL City FC sebelum ini.
Sementara itu, Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) berkongsi mata selepas terikat 1-1 pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.
Melaka United (MU) FC pula terus buntu meraih kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini selepas terikat 0-0 berdepan Sri Pahang FC di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di Melaka.
Keputusan itu bagaimanapun mengelak kekalahan ketiga berturut-turut buat Sri Pahang selepas tewas 1-3 kepada Selangor FC dan 0-2 di tangan Perak FC sebelum ini.
Dalam pada itu, hasrat Sabah FC untuk mengutip mata penuh pada aksi sulung saingan Liga Super di gelanggang sendiri di sini, malam tadi, musnah apabila tewas 0-1 di tangan PJ City. – MalaysiaGazette