MENGAMBIL pengajaran dari sebuah cerita yang tular di portal-portal berita, kadar
kematian akibat implikasi virus Covid-19 di Brazil meningkat tinggi sehingga
mencecah angka 1,600 kematian sehari.
Ini berlaku bukan kerana mereka tiada vaksin, tetapi kerana mereka enggan
mengambilnya dan juga tindakan pihak berwajib memberhentikan proses pemberian
vaksin di wilayah tersebut.
Tindakan ini dipercayai kerana mereka takut untuk mengambil vaksin Covid-19 di
negara berkenaan, walaupun mereka sendiri yang memvaksinkan orang lain di
daerah tersebut.
Kita tak dapat nafikan, memang ada pihak yang masih ragu-ragu untuk mengambil
vaksin Covid-19 kerana tidak mengetahui akan kesan sampingannya.
Namun begitu, di negara kita ia sedikit berbeza. Proses meluluskan, membeli dan
membawa masuk setiap mililiter cecair vaksin itu perlu melalui proses yang amat
ketat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Perkara ini telah diberi jaminan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
sendiri. Katanya, KKM tetap dengan pendirian bahawa setiap vaksin yang dibawa
masuk perlu melalui tapisan yang ketat oleh Badan Regulatori Farmasi Negara
(NPRA).
Semua ini sudah tentu bagi memastikan jaminan keselamatan terhadap penerima
vaksin Covid-19.
"Setakat ini pemberian kelulusan bersyarat ini sangat meyakinkan dan boleh
teruskan dengan pemberian vaksin yang mendapat kelulusan bersyarat daripada
NPRA," katanya pada sidang media mingguan Program Imunisasi COVID-19
Kebangsaan (PICK) pada 8 Mac 2021.
Malah, testimoni juga sudah ada di hadapan mata kita semua. Bermula dari Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sehinggalah ke barisan ‘frontliners’ yang ada di
negara kita, tiada seorang pun yang mengalami kesan sampingan yang kritikal.
Ya, yakinlah bahawa vaksin Covid-19 ini tidak memudaratkan. Dr Adham juga
mengakui bahawa seramai 139,722 petugas barisan hadapan yang telah menerima
suntikan imunisasi sejak 8 Mac 2021 tidak menunjukkan kesan yang
membimbangkan sehingga ke saat ini.
“Pemantauan yang dikesan mendapati tiada perkara yang serius dan tiada kes yang
serius dilaporkan.
“Ini menunjukkan kesan suntikan vaksin terbabit selesa malah kesan yang dikesan
hanyalah sakit di lengan dan sakit biasa,” katanya untuk meyakinkan kita semua.
Justeru, ayuh kita sama-sama pergi mendaftarkan diri untuk divaksin melalui tig
acara iaitu aplikasi MySejahtera, secara hotline dan bersemuka di fasiliti KKM
berhampiran.
Jadilah penyumbang kepada pembentukan imunisasi kelompok di negara ini dengan
kita sama-sama mengambil vaksin Covid-19 ini. Lindungi diri, lindungi semua.
DR MUHAMMAD KELANTANI
Bandar Baru Bangi