Home Politik Kit Siang soal kenyataan bercanggah Menteri berkaitan Ordinan Darurat

Kit Siang soal kenyataan bercanggah Menteri berkaitan Ordinan Darurat

Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan kenyataan bercanggah Menteri Perikatan Nasional (PN) berhubung Ordinan Darurat yang memberi kuasa kepada kerajaan memerangi berita palsu.

Ahli Parlimen Iskandar Putri mempersoalkan bagaimana Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah memberi jaminan bahawa kerajaan akan dapat membezakan antara kritikan dan berita palsu yang disebarkan.

Manakala Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan sesiapa yang mendakwa kerajaan telah mengisytiharkan darurat kerana telah kehilangan majoriti adalah berita palsu.

“Kalau Saifuddin berikan jaminan kerajaan dapat kenal pasti perbezaan antara kritikan dan berita palsu, Takiyuddin pula berikan pandangan yang lain pula yang membingungkan segelintir pihak.

“Kata Takiyuddin pula mengatakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akan digunakan kepada sesiapa yang mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah kehilangan majoriti di Parlimen sehingga mengistiyarkan darurat, pesalah yang dikenal pasti akan dikenakan denda sehingga RM100,000, penjara atau kedua-dua sekali.

“Mana satu yang betul ini? Saifuddin atau Takiyuddin?,” katanya menerusi blog beliau hari ini.

Pada Jumaat lalu, Saifuddin menjelaskan, penguatkuasaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 adalah khusus bagi menangani berita tidak benar berkaitan Covid-19 serta Proklamasi Darurat sahaja.

Jelas Saifuddin, ordinan itu adalah remedi jangka pendek khusus bagi membendung penularan berita tidak benar mengenai Covid-19 dan Proklamasi Darurat, demi ketenteraman dan kepentingan awam.

Menurut Kit Siang, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun perlu memberi penjelasan berhubung kuasa kerajaan dalam mengekang berita palsu.

Tambah beliau, hanya Idrus yang dapat memberi penjelasan berhubung ordinan pengekangan berita palsu itu bagi pemahaman umum.

Jelasnya, jaminan yang diberikan Saifuddin itu tidak ada gunanya berikutan kenyataan bercanggah yang dikeluarkan oleh kedua-dua Menteri itu. – MalaysiaGazette