Home Dunia Menteri Kesihatan Jordan dipecat selepas 7 pesakit Covid-19 maut kekurangan oksigen

Menteri Kesihatan Jordan dipecat selepas 7 pesakit Covid-19 maut kekurangan oksigen

Nathir Obeidat.. foto Agensi

AMMAN – Menteri Kesihatan Jordan dipecat selepas tujuh orang meninggal dunia susulan berlaku gangguan bekalan oksigen di sebuah hospital yang merawat pesakit koronavirus.

Kekurangan bekalan oksigen berlaku di wad rawatan rapi, bersalin dan koronavirus di Hospital Salt, yang merupakan sebuah hospital kerajaan.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan ahli keluarga mangsa, memaksa polis dikerahkan untuk mengawal hospital.

Perdana Menteri, Bisher al Khaswaneh mengesahkan beliau memecat Menteri Kesihatan, Nathir Obeidat.

Dalam permohonan maaf secara terbuka, Bisher mengakui kerajaannya bertanggungjawab sepenuhnya atas kejadian itu.

“Kesilapan ini tidak boleh diterima. Saya malu dan tidak boleh menjustifikasinya,” katanya sambil memaklumkan sedang menunggu siasatan.

Obeidat berkata, beliau memikul “tanggungjawab moral” atas kematian pesakit, yang dirawat akibat Covid-19 ketika wad-wad kehabisan oksigen selama hampir satu jam.

Raja Abdullah telah mengunjungi hospital untuk mengurangkan ketegangan.

“Bagaimana hospital boleh menyaksikan kejadian seumpama ini,” kata Raja Abdullah.

Bagaimanapun, beberapa ahli politik menyifatkan kejadian itu berlaku akibat salah urus besar dalam hospital-hospital kerajaan.

Jordan merekodkan peningkatan kes Covid-19 disebabkan oleh penularan varian dari Britain.

Khamis lalu, Jordan menyaksikan lonjakan 8,300 kes Covid-19.

Jordan yang memiliki 10 juta penduduk merekodkan 385,533 kes jangkitan dengan 5,224 kes kematian. – MalaysiaGazette