Home Politik Mereka tinggalkan PKR kerana kecewa dengan Anwar

Mereka tinggalkan PKR kerana kecewa dengan Anwar

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tindakan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggalkan parti itu kerana didorong oleh rasa kecewa mendalam terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu didakwa membawa amalan politik pecah-belah, nepotisme dan kronisme hingga menjerumuskan parti itu ke jurang kehancuran.

Dakwaan itu dibuat oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Dr. Mansor Othman, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar, Datuk Ali Biju, Datuk Willie Mongin dan Jonathan Yasin dalam satu kenyataan di sini.

Kata mereka, tuduhan bahawa PN menggunakan sogokan dan intimidasi untuk meraih sokongan Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan adalah tidak berasas sama sekali.

”Tuduhan-tuduhan ini merupakan serangan terhadap integriti SPRM dan polis dan kami memandang serius tuduhan menghasut secara terang-terang ini yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi penguatkuasaan dan meminta tindakan undang-undang segera terhadap mereka,” menurut kenyataan tersebut.

Kata mereka, Ahli-Ahli Parlimen yang keluar daripada PKR telah melakukan penilaian objektif dan menyedari Kerajaan PN telah mengambil tindakan bertanggungjawab dalam menangani wabak Covid-19 dengan menyalurkan sejumlah RM320 bilion untuk kepentingan rakyat dan mencerdaskan ekonomi.

Oleh itu, para pemimpin dan anggota PKR harus merenung bukan hanya keputusan terbaharu yang diambil oleh ketiga-tiga anggota Parlimen itu, tetapi isu yang lebih serius mengapa begitu ramai pemimpin tertinggi PKR dan anggota yang lama berkhidmat telah keluar parti.

PKR, di bawah pimpinan dan kerangka sekarang, tidak lagi mampu memperjuangkan prinsip keadilan dan kesejahteraan bagi rakyat kerana parti itu telah tercabut daripada prinsip dan tidak lagi berada di landasan moral untuk memimpin.

”Biar pun pahit, tetapi hakikatnya adalah kepimpinan Anwar ditolak oleh sebahagian besar anggota partinya sendiri kerana PKR telah kehilangan idealisme dan tergelincir dari landasan perjuangan.

”Ini sangat malang kerana kita tahu bahawa ada pemimpin dan anggota PKR yang berpegang teguh pada prinsip dan idealisme disisihkan dan bahkan menjadi mangsa kuasa di tangan presiden.

”Sepatutnya mereka perlu tabah dalam perjuangan untuk terus mencapai cita-cita murni, tetapi perakus dan pengkianat telah merampas agenda reformasi untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni mereka,” kata mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, Setiausaha Agung PKR, yang begitu keras memimpin serangan ganas terhadap ketiga-tiga anggota Parlimen itu juga tidak memiliki kedudukan moral untuk menjuarai hujah berhubung melompat parti.

Ini kerana, Datuk Seri Saifuddin Nasution juga telah beberapa kali menjadi juara melompat dari UMNO ke PKR, kemudian dari PKR ke Pas dan dari Pas kembali kepada PKR.

Berbanding dengan Xavier yang merupakan Naib Presiden PKR yang terpilih sedangkan kedudukan Saifuddin dalam parti adalah lemah kerana beliau dilantik.

”Saifuddin tidak mempunyai legitimasi dan keabsahan dan kita fahami dia bersuara bagi pihak Anwar dalam situasi begini.

”Sekiranya Saifuddin jujur dan ikhlas tentang kedaulatan undang-undang dan perjuangan melawan rasuah, mengapa dia terus menerus diam membisu tentang kes rasuah yang melibatkan seorang tokoh ternama kepimpinan PH yang tiba-tiba digugurkan tatkala perbicaraan sedang berjalan lancar? Suatu yang amat mengecewakan dan menggusarkan SPRM dan masyarakat awam,” kata mereka.

Menurut mereka, pengisytiharan oleh tiga Ahli Parlimen PKR sebagai Ahli Parlimen bebas yang menyokong PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan langkah berani dan senada dengan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang berfungsi sepenuhnya dan stabil.

Bekas pemimpin PKR yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu turut mengalu-alukan anjakan politik yang dinamik dilakukan oleh Larry Sng (Julau), Steven Choong (Tebrau) dan Datuk Dr. Xavier Jayakumar (Kuala Langat).

”Ini merupakan perkembangan progresif yang terbit dari keyakinan mereka terhadap pengendalian Kerajaan Perikatan Nasional menangani pandemi Covid-19 dan langkah-langkah proaktif, tegas dan tepat untuk melaksanakan usaha mencerdaskan ekonomi dan memastikan pemulihan yang berterusan,” kata mereka dalam kenyataan itu. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Suatu ketika Non hanya setapak sahaja lagi dari menduduki kerusi empuk PM? Kini harapan dan cita2 tersebut menjadi semakin KABUR dan KELAM?

    Hanya tinggal harapan? Atok tentu suka?

  2. hahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahaahahahahahahaahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahaga

Comments are closed.