Home Utama Orang politik tidak boleh berselindung menggunakan istana – Zaid

Orang politik tidak boleh berselindung menggunakan istana – Zaid

Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Seorang bekas menteri mempertikaikan kenyataan Menteri Undang-Undang yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong bersetuju dengan keputusan kerajaan mengenai denda RM100,000 yang dikenakan kepada penyebar berita palsu.

Datuk Zaid Ibrahim berkata, kenyataan ini luar biasa dari segi Perlembagaan, lantaran itu kerajaan perlu memberi penjelasan lanjut.

Menurutnya, walaupun betul setiap ordinan yang dikeluarkan dalam masa darurat memerlukan persetujuan baginda namun ia tidak bererti segala isi kandung ordinan tersebut juga secucuk dengan pandangan dan pendapat secara peribadi Yang di-Pertuan Agong.

”Sekali imbas, inilah yang ingin disampaikan oleh Menteri Undang-Undang kita. Kalaulah ini tujuan beliau, ianya satu tafsiran yang salah dan sengaja dilakukan untuk mendapat sokongan rakyat terhadap apa yang terkandung dalam ordinan itu. Ini sangat berbahaya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, konsep Raja Berperlembagaan itu bererti raja bertindak di atas nasihat Kabinet manakala pandangan dan pendirian peribadi tidak menjadi penentu dalam melaksanakan tugas baginda.

Kabinet yang menggubal dasar dan peraturan sama ada yang baik atau buruk mesti menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah.

Jelasnya, kalau dasar dan peraturan itu tidak mendapat sokongan rakyat atau dibenci oleh rakyat, menteri tidak boleh berkata ianya dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong.

”Orang politik tidak boleh berselindung dengan menggunakan istana. Jika setiap kali Kabinet terpaksa menyebut nama Istana untuk mempertahankan dasar, maka Istana akan diheret ke kancah politik.

”Ini bukan lagi Raja Berperlembagaan. Ini boleh menjatuhkan martabat Raja-Raja Melayu itu sendiri. Kalaulah pandangan dan pendirian peribadi Tuanku menjadi penentu dalam sesuatu keputusan (dan bukan bertindak atas nasihat Kabinet), maka tafsiran Tengku Razaleigh Hamzah boleh digunapakai.

”Beliau berkata, dalam darurat Tuanku boleh memecat Kabinet dan juga Perdana Menteri. Baginda tidak perlukan nasihat. Pendirian peribadi beliau mencukupi,” jelas Zaid.

Jadi, katanya, Takiyuddin perlu membuat keputusan, kalaulah beliau mentafsirkan Raja Berpelembagaan itu bererti pendirian dan pandangan peribadi Tuanku relevan dan mustahak, maka beliau dan Kabinet mesti menerima keputusan Tuanku, jika berlaku, kalau mereka dipecat nanti.

”Jika Takiyuddin inginkan baginda bertindak di atas nasihat Kabinet, sebagaimana lazim kita faham, maka tak usahlah kaitkan sokongan dan persetujuan Tuanku dalam mempertahankan dasar dan keputusan kerajaan yang tidak popular dan dibenci ramai,” ujarnya yang berharap UMNO dan Pas meneliti perkara ini secara halus.

Ini kerana, kita mesti menjaga integriti Istana dan hormat rakyat kepada Raja Melayu.

”Jika orang politik setiap kali rasa terdesak berkata, “Ini Tuanku yang mahukan”, maka keadaan yang tidak boleh dibenarkan berterusan. Kefahaman rakyat terhadap konsep Raja Berperlembagaan akan rosak dan demokrasi tidak akan terjamin,” tegas Zaid. – MalaysiaGazette