Home Seni Hidup Punca mulut berbau busuk

Punca mulut berbau busuk

Ramai malu untuk mengaku berdepan masalah mulut berbau.

PUCHONG – Tidak dapat dinafikan sebenarnya hampir semua orang mengalami masalah nafas berbau. Cuma yang membezakan adalah tahap teruk dan ada pula bersifat sementara.

Untuk mengakui kita ada masalah nafas berbau, memang amat sukar kerana ia dianggap perkara memalukan malah boleh membuatkan seseorang berasa rendah diri.

Jadi dengan siapa perlu kita meluahkan rahsia peribadi ini. Ini kerana jika tidak diluahkan, mungkin sampai bila-bila kita tidak dapat menyelesaikan masalah mulut berbau itu.

Untuk meluahkannya bagi membuka mulut memulakan cerita, doktor gigi adalah individu yang tepat untuk ditemui.

Bagi seorang doktor gigi, Dr Nurdini Abdullah berkata, istilah perubatan bagi mulut berbau dipanggil halitosis dan terjadi akibat tindak balas bakteria dengan makanan yang tertinggal dalam mulut.

Gigi yang rosak antara faktor mulut berbau. Gambar Hiasan.

Jelas beliau, kebanyakan bakteria ini bersifat anaerob iaitu hidup tanpa oksigen di kawasan yang susah dibersihkan seperti celah-celah gigi, gusi, lidah dan di celah-celah gigi palsu.

“Masalah mulut berbau juga berpunca daripada beberapa faktor… antaranya merokok, tidak mengamalkan kebersihan mulut dengan betul iaitu berkumur selepas makan atau minum, tidak memberus gigi lidah dan rongga mulut sekurang-kurangnya dua kali sehari waktu pagi dan malam sebelum tidur.

“Selain itu, penyakit gigi dan gusi, pengambilan makanan dan minuman yang berbau seperti petai, jering, bawang putih atau minuman beralkohol dan penyakit sinus dan paru-paru yang kronik turut menyumbang kepada masalah ini.

‘Pada masa sama, pengambilan ubat-ubatan seperti antihistamin, antidepression dan lain-lain boleh mengakibatkan pengurangan pengeluaran air liur dan menyebabkan mulut kering turut menjadi faktor kepada masalah mulut berbau,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Dr Nurdini Abdullah.

Dr Nurdini yang juga Pengarah Klinik Pergigian Sparkle Puchong berkata, mereka yang berdepan masalah mulut berbau tidak perlu risau kerana ia dapat di atasi jika mengikuti cara penjagaan yang betul.

Jelas beliau yang merupakan lulusan Universitas Airlangga, Surabaya di Indonesia berkata, golongan itu perlu membersihkan gigi dan mulut serta lidah setiap hari.

Menurutnya, ramai yang terlupa untuk membersihkan lidah semasa menggosok gigi padahal banyak bakteria bersembunyi di rekahan lidah dan juga di bahagian belakang lidah.

“Anda boleh membersihkan lidah dengan menggunakan pembersih lidah. Ada juga berus gigi yang mempunyai pembersih lidah di belakang kepala berus gigi.

“Selain itu boleh menggunakan berus gigi yg lembut secara perlahan-lahan dengan menggerakkan berus dari belakang lidah ke bahagian hadapan lidah berulang kali sehingga bersih.

“Pada masa sama, minum air sekerap yang boleh kerana ia boleh merangsang pengeluaran air liur, membilas lebihan sisa makanan pada gigi dan juga melembabkan mulut dan membuatkan suasana mulut kurang sesuai untuk pembiakan bakteria anaerob,” katanya memberi nasihat.

Dr Nurdini menambah, orang ramai disaran mengelak penggunaan pencuci mulut yang mempunyai alkohol kerana selalu menyangka menggunakan mouthwash akan membuat bau nafas menjadi segar.

Gigi perlu digosok dua kali sehari. Gambar hiasan.

Ujar beliau, sebenarnya jika menggunakan ubat kumur yang mengandungi alkohol, ia boleh menyebabkan kekeringan di dalam mulut sekaligus menggalakkan pembiakan bakteria yang menyebabkan mulut berbau.

Beliau memberikatahu, jika hendak menggunakan ubat kumur, pastikan tidak mengandungi alkohol.

“Orang ramai juga digalak mengunyah gula-gula getah (chewing gum) tanpa gula. Jika tidak dapat memberus gigi selepas makan, anda boleh mengunyah gula getah tanpa gula. Dengan ini, sisa-sisa makanan boleh dibersihkan dan pengeluaran air liur akan dirangsang.

“Selain itu, jangan lupa memeriksa gigi anda di klinik gigi jika terdapat tanda-tanda penyakit gusi dan tulang seperti gingivitis dan periodontal.

“Doktor gigi boleh merawat penyakit gusi dan membersihkan gigi anda daripada plak dan karang gigi dan seterusnya boleh menghilangkan bau pada mulut anda.

“Berjumpalah dengan doktor gigi untuk pemeriksaan secara berkala setiap enam bulan sekali,” katanya.

Sementara itu, Klinik Pergigian Sparkle Puchong yang dibuka sejak Oktober tahun lalu kini menawarkan pelbagai perkhidmatan rawatan gigi pada harga mampu milik kepada orang ramai.

Mereka yang berminat mendapat konsultasi atau maklumat lanjut boleh menghubungi talian +601273300474 atau layari Instagram: sparkledentalpuchong. – MalaysiaGazette

Klinik Pergigian Sparkle Puchong kini menawarkan pelbagai perkhidmatan rawatan gigi.