Home Utama Telur dari ladang CES 008 Lay Hong tidak dijual di pasaran tempatan

Telur dari ladang CES 008 Lay Hong tidak dijual di pasaran tempatan

Telur
Krisis bekalan telur ayam semakin memuncak apabila bekalan di seluruh negara dijangka merosot sehingga 4.5 juta biji sehari atau lebih sekiranya kerajaan terus mengekalkan harga sedia ada tanpa sebarang kenaikan atau subsidi.- Gambar hiasan.

UALA LUMPUR – Telur keluaran ladang CES 008 Lay Hong Layer Farm di Jeram, Selangor tidak dibenarkan dijual di pasaran tempatan sebagai telur sajian sehingga keputusan siasatan pengesanan Salmonella Enteritidis (SE) diperoleh.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berkata, telur dari ladang ini hanya untuk penghasilan produk telur yang melalui rawatan haba di kilang pemprosesan syarikat di Kapar dan Meru, Selangor.

DVS dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menjalankan lawat siasat dan persampelan untuk menguji SE ke atas semua ladang terbabit.

Pada masa sama, DVS juga tidak membenarkan kemasukan semula telur CES 008 yang dipanggil semula ke Malaysia.

Menurutnya, penggantungan CES 008 ke Singapura tidak menjejaskan pengeksportan lain-lain ladang ke Singapura dan bekalan pasaran tempatan.

DVS dalam kenyataan hari ini berkata, jabatan itu telah melakukan daya jejak sumber jangkitan SE, menjalankan siasatan penyakit, menyemak rekod pemvaksinan, pengeluaran telur dan rekod program survelan (pengawasan) penyakit di ladang.

Malah, DVS juga menjalankan pensampelan (sampel persekitaran, kloaka, makanan ternakan, air minuman dan telur) untuk pengesanan SE.

Selain itu, DVS memaklumkan bahawa melalui Program Survelan Penyakit Haiwan Kebangsaan, Salmonellosis merupakan salah satu penyakit yang dipantau di semua ladang ayam di Malaysia.

Semalam, Singapura telah mengarahkan empat pengimportnya menarik balik telur keluaran Lay Hong di Malaysia daripada pasarannya sebagai langkah berjaga-jaga.

Agensi Makanan Singapura (SFA) yang mengeluarkan arahan itu susulan penemuan bakteria SE pada telur berkenaan yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan sekiranya produk berkenaan dimakan mentah atau separuh masak.

DVS berkata, terdapat lebih 2,000 spesies Salmonella dan gejala pada manusia akibat jangkitan SE.

Antaranya sakit perut, cirit-birit, loya, muntah serta demam namun SE boleh dimusnahkan dengan cara memasak produk berkenaan dengan sempurna.

Dalam kenyataan itu, DVS berkata, terdapat 10 ladang ayam yang terdiri daripada dua ladang pullet dan lapan ladang ayam syarikat Lay Hong Berhad.

Tetapi hanya satu ladang iaitu CES 008 yang mengeksport telur ke Singapura.

Syarikat juga memaklumkan 100 peratus telur keluaran daripada ladang CES 008 untuk pasaran eksport ke Singapura. – MalaysiaGazette

Penarikan balik telur: KPDNHEP nasihati pengguna elak pembelian panik