Home Pendapat UiTM miliki Repositori Khazanah Melayu

UiTM miliki Repositori Khazanah Melayu

PENGENALAN

Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM telah membangunkan Portal Repositori Khazanah Melayu pada tahun 2016 sempena Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa pada 8 hingga 10 November 2016 bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam sempena Sambutan UiTM yang ke 60 tahun.

Portal ini telah dibangunkan hasil kepakaran dalaman staf perpustakaan secara berpusat pada tahun 2016. Pembangunan kandungan portal ini melibatkan keseluruhan Pegawai Pengurusan Profesional PTAR dengan merujuk kepada sumber-sumber bahan dari perpustakaan UiTM seluruh Malaysia, sumber dari kesemua Perpustakaan Universiti Awam dan lain-lain badan agensi kerajaan. Pada tahun 2020, portal ini diberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada Jabatan Arkib Universiti, Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM bagi memastikan kandungan dan penyelenggaraan sentiasa dikemaskini.

Objektif

Objektif utama pembangunan portal ini adalah untuk mewujudkan gerbang utama pengumpulan bahan berkaitan dengan Institusi Melayu dan Alam Melayu di seluruh dunia. Ia juga menjadi satu platform pencarian maklumat yang bertindak sebagai pusat rujukan dan penyelidikan, untuk kajian Institusi Melayu dan Alam Melayu. Platform ini juga merupakan pusat penimbaan ilmu yang mempunyai pelbagai dokumen peninggalan sejarah melayu untuk generasi masa kini dan akan datang.

Skop

Portal ini memberi penumpuan kepada beberapa skop iaitu Adat dan Budaya Melayu, Asal-Usul Melayu: Sumber Genetik, Ekonomi Melayu, Islam dan Keintelektualan Melayu, Kesultanan Dan Pemerintahan, Ketamadunan Melayu, Pendidikan Melayu, Sistem Undang-Undang Melayu dan juga Warisan Melayu. Tujuh wasiat raja-raja Melayu sebagai contoh, merupakan perkara asas yang seharusnya difahami oleh generasi muda. Pegangan yang teguh kepada tujuh wasiat raja-raja Melayu ini akan membawa kepada kehidupan yang aman dan sejahtera.

Koleksi Bahan

Bagi meningkatkan kesedaran tentang Institusi Melayu dan Alam Melayu, portal ini juga berperanan mempromosikan dan menyebarkan ilmu yang mempunyai nilai kepada pembangunan negara dalam pelbagai aspek. Sehingga Januari 2021, terdapat 3,573 bahan tersedia di portal (sumber: Statistik Repositori Khazanah Melayu) yang melibatkan teks penuh dan akses terbuka boleh diakses secara percuma. Ia bukan sahaja boleh diakses oleh warga universiti, malahan warga komuniti luar.

Bahan-bahan ini akan bertambah dari semasa ke semasa melalui pelbagai usaha pengumpulan koleksi bahan Alam Melayu. Sebagai contoh, kerjasama strategik dengan badan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi dalam dan luar negara. Ia merupakan satu nilai tambah kepada fungsi portal ini dan bertetapan dengan fokus utama perkhidmatan perpustakaan dalam mewujudkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (Corporate Social Responsibility – CSR).

Sepanjang tempoh pembangunan portal ini, sebanyak 49,628 muat turun bahan telah direkodkan (sumber: Statistik Repositori Khazanah Melayu). Portal Repositori Khazanah Melayu ini boleh diakses melalui pautan http://melayu.library.uitm.edu.my/.

Selain itu, Repositori Khazanah Melayu ini turut memuatkan bahan-bahan berkaitan sejarah ekonomi Melayu yang turut berkait rapat dengan penubuhan UiTM. Penubuhan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada awalnya dikenali sebagai Dewan Latehan RIDA memberi fokus dalam membantu orang Melayu luar bandar. Menurut Prof. Madya Dr. Ghazali B. Daimin (2013) dalam penulisannya bertajuk UiTM dan Destini Melayu, penubuhan UiTM pada dasarnya adalah untuk membantu anak-anak bumiputera dari segi pelajaran seterusnya mempertingkatkan sosio-ekonomi mereka.

Matlamat yang sama juga dikongsi dengan bumiputera Sabah dan Sarawak, di mana anak-anak mereka diberi sama taraf untuk diterima masuk belajar di UiTM demi membantu mempertingkatkan taraf pendidikan anak-anak mereka.

Peredaran zaman turut memberi kesan positif kepada sistem pendidikan negara. Pelbagai
penambahbaikan dilakukan dan transformasi pendidikan masyarakat Melayu dapat dilihat daripada pendidikan tidak formal kepada pendidikan berciri moden dari segi kurikulum dan kaedah pengajian (Adibah Sulaiman@Mohamad & Ezad Azraai Jamsari, 2011). Setelah melalui beberapa fasa naik taraf, UiTM telah mula berkembang menjadi institusi pendidikan tinggi paling besar di Malaysia. Kini, terdapat 35 kampus UiTM di seluruh negara dan sebanyak 526 program ditawarkan.

Penutup

Kesimpulannya, kewujudan portal Repositori Khazanah Melayu ini mampu menjadi salah satu sumber rujukan dan penyelidikan bagi kajian budaya dan institusi Melayu. Penumpuan kepada skop yang menjurus kepada sejarah pembangunan dan hala tuju bangsa Melayu amat penting untuk tatapan generasi muda akan datang. Diharapkan dengan penggunaan platform digital bagi memelihara dan menyimpan bahan-bahan sejarah yang bernilai ini akan memberi impak kepada  masyarakat, khususnya warga UiTM.

Artikel ini disediakan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Perkhidmatan Perpustakaan. Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM)