Home Politik Undi 18 tahun: SPR perlu laksana tanpa dipengaruhi pemimpin politik

Undi 18 tahun: SPR perlu laksana tanpa dipengaruhi pemimpin politik

Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menyatakan dengan tegas mengenai pelaksanaan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pemimpin politik.

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berdolak-dalik dengan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun  memberi bayangan bahawa anak muda tidak penting kepada sistem demokrasi di negara ini.

Katanya, sebarang penangguhan dalam proses ini pastinya akan menjejaskan mood anak muda untuk turut sama terlibat dalam pemulihan sistem demokrasi di Malaysia.

“Saya yakin dengan kematangan dan pertimbangan anak muda dalam membuat keputusan mereka di peti undi. Ia bukan persoalan memberikan kebebasan kepada mereka, ini adalah persoalan hak mereka yang telah dirampas dan wajar dikembalikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas kenyataan Yang di-Pertua Dewan Negara yang berkata, terdapat pelbagai kekangan untuk melaksanakan dasar Undi 18, walaupun selepas Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Tan Sri Rais Yatim berkata, negara masih tidak bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu memandangkan proses untuk mendapatkan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun turut memakan masa lama.

Artikel berkaitan:Jangan berdalih, tunaikan hak warga Malaysia berusia 18 tahun mengundi

Usia 18 tahun layak jadi pengundi, sudah boleh buat keputusan

Armada sokong undi 18 tahun, dakwa kenyataan ketuanya dimanipulas

Bagaimanapun Shafie berkata, SPR perlu mengadakan lebih banyak libat urus dengan semua pemegang taruh termasuk daripada parti politik pihak pembangkang dalam kerangka untuk menjayakan kelayakan mengundi 18 tahun ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu menambah, hak mengundi dan menjadi calon pilihan raya yang diturunkan kepada umur 18 tahun oleh Pakatan Harapan sebelum ini adalah hadiah terbaik kepada anak muda.

Kejayaan ini berlaku pada 25 Julai 2019 selepas Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, 10 hari selepas ianya diluluskan sebulat suara di dalam Dewan Rakyat.

Menurut Shafie, pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik dapat memberi rangsangan kepada anak muda untuk turut sama menyumbang dalam membuat keputusan besar seperti pembentukan sesebuah kerajaan dan memilih kepimpinan negara.

Kerajaan PN sepatutnya menggunakan peluang ini untuk menggalakkan 4.2 juta anak muda yang berumur 21 tahun dan ke atas yang dilaporkan layak mengundi, tetapi belum mendaftar sebagai pengundi, katanya. – MalaysiaGazette