KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 kluster Covid-19 berkaitan tempat kerja dan satu kluster upacara keagamaan dikenalpasti hari ini, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan, kluster keagamaan ituĀ membabitkan dua daerah di Kedah iaitu Kluster Jalan Sekerat, di daerah Kuala Muda dan Kulim membabitkan kes indeks yang dilaporkan positif pada 7 Mac lalu.
Beliau berkata, lelaki berusia 57 tahun itu mula bergejala pada 3 Mac lalu.
“Kluster ini membabitkan individu-individu yang menghadiri mesyuarat yang berlangsung di Jalan Sekerat, Sungai Petani serta kontak rapat mereka.
“Sehingga hari ini, sejumlah 52 individu sudah disaring, dengan 17 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr Noor Hisham menambah, terdapat juga satu kluster yang dikesan di pusat peranginan di Pulau Tioman, Pahang.
Jelas beliau, ia membabitkan Kluster Kampung Air Batang bagi kes indeks seorang lelaki warganegara tempatan berusia 67 tahun yang dilaporkan positif pada 12 Mac lalu selepas mula bergejala pada 5 Mac lalu.
Beliau berkata, kluster itu membabitkan pekerja pusat penginapan yang terletak di Kampung Air Batang, Pulau Tioman, Rompin dan sudah menjangkiti 15 individu.
Selain dua kluster itu, katanya, 11 kluster turut direkodkan hari ini, semuanya membabitkan tempat kerja iaitu Kluster Sungai Puloh, Kluster Batu Tiga Lama dan Kluster Perusahaan Amari di Selangor; Kluster Jalan Mega Lima, Kluster Jalan Delima dan Kluster Batu 19 di Johor.
Kluster lain adalah Kluster Jalan Tanjung di Sarawak; Kluster Industri Gunung Mas di Negeri Sembilan, Kluster Jalan Lapan Belas di Kuala Lumpur; Kluster Tapak Bina Meha di Kedah dan Kluster Chendering Height di Terengganu. – MalaysiaGazette