Home Politik Hipokrasi DAP terbongkar, ada elemen ‘pengundi hantu’ di Perak – Baljit

Hipokrasi DAP terbongkar, ada elemen ‘pengundi hantu’ di Perak – Baljit

Baljit Singh

KUALA LUMPUR – Laungan pemimpin DAP yang mahu pilihan raya dilakukan secara bersih, adil dan bebas ternyata hanya retorik. 

Ini kerana kekecohan serta pelbagai dakwaan termasuklah kehadiran pengundi hantu oleh ahli parti itu sendiri ketika pemilihan 15 ahli jawatankuasa DAP di Perak semalam membuktikan sebaliknya.

Insiden itu bukan sahaja memalukan sebaliknya kelakar kerana selama ini Lim Kit Siang dan Guan Eng  antara pemimpin parti yang sungguh lantang menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan pelbagai tohmahan.

Itu kenyataan Naib Presiden Gerak, Datuk Baljit Singh berhubung kekecohan ketika Konvesyen DAP Perak yang rata-rata telah mengecewakan penyokong serta segelintir ahli parti itu.

“Jika anda semua ingat, setiap kali menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) sehinggalah tamat, antara kenyataan popular dan klasik dari mulut Kit Siang ialah, ‘inilah PRU yang akan menjadi paling kotor dan tidak adil’.

“Malah seingat saya, selama DAP bertanding di mana-mana, itu juga tagline Kit Siang walaupun ketika itu pilihan raya belum lagi dilaksanakan tetapi apabila parti beliau menang, lain pula gayanya.

“Tetapi menariknya, kejadian semalam membuktikan slogan retorik DAP terutamanya anak beranak Lim ini membuktikan yang sebaliknya apabila pemilihan parti sendiri ada banyak kepincangan termasuklah kehadiran pengundi hantu.

“Ini juga bukanlah dakwaan kali pertama sebaliknya sebelum ini juga pernah berlaku cumanya DAP pandai menuding jari pada pihak lain, apabila kena batang hidung sendiri mereka akan alih pandangan kerana itu juga adalah antara kepakaran mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sambung Baljit, Kit Siang mahu pun Guan Eng tidak akan sesekali tampil bercakap jauh lagi mengakui sebarang kepincangan atau salah laku sebaliknya bertindak menyakinkan ahli serta penyokong insiden itu didalangi pihak yang hendak menjatuhkan DAP.

“Kita sudah boleh meneka apakah tindak tanduk mereka seterusnya, tidak ada apa-apa menghairankan. Bayangkan insiden sama berlaku dengan parti lawan?

“Orang pertama lantang adalah mereka, menyoal segala macam sampai memberi persepsi bagaimana rakyat di aniayai.

“Tolonglah, umum juga sudah celik dengan propaganda seperti ini, sesekali tonjolkanlah sikap telus, adil seperti slogan-slogan indah kamu itu. Jika salah, tampil mengaku dan cuba betulkan isu itu,” katanya.

Semalam, gandingan dua sepupu, Nga Kor Ming dan Datuk Ngeh Koo Ham mengekalkan teraju kepimpinan DAP Perak bagi pemilihan Jawatankuasa Negeri Perak 2021 pada Konvensyen DAP Perak ke-19.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu bersama-sama bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) 2009 yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar, mendapat undi tertinggi dengan jumlah yang sama iaitu 1,228 undi.

Untuk rekod, Kor Ming menjadi Pengerusi DAP negeri sejak tahun 2014 selama tiga penggal memandangkan pemilihan dalam tempoh tiga tahun sekali.

Bagaimanapun, pasukan lawan yang diterajui oleh bekas Menteri merangkap Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran dan Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su mendakwa berlaku unsur penyelewengan undi dengan kehadiran pengundi hantu. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Konvensyen DAP Perak sedikit kecoh, konon wujud pengundi hantu dan penipuan