Home Ekonomi Kelab TaHa dijenamakan semula

Kelab TaHa dijenamakan semula

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menjenamakan semula Kelab TaHa bagi menarik minat dan memberi tawaran yang pelbagai kepada lebih dua juta ahlinya dalam kalangan para pendeposit muda.

Pengarah Eksekutif (Operasi) TH, Mustakim Mohamad berkata, penjenamaan semula itu merupakan usaha menjadikan kelab berkenaan lebih relevan dengan keperluan generasi muda beragama Islam di Malaysia.

“Kelab TaHa telah wujud selama hampir 13 tahun sejak penubuhannya pada bulan April 2008. Pada tahun ini, TH menawarkan pelbagai keistimewaan yang lebih menarik selain menampilkan logo baharu kelab sebagai sebahagian daripada transformasi mengikut peredaran semasa.

“Kini, keahlian Kelab TaHa tidak lagi terhad kepada para pendeposit di sekolah rendah dan menengah sahaja, tetapi telah dibuka untuk kesemua pendeposit muda berusia seawal bayi baru lahir sehingga berumur 17 tahun. Ahli juga tidak perlu mendaftar dan ianya adalah percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian, semasa majlis pelancaran logo dan keistimewaan Kelab TaHa pada baru-baru ini.

Logo Kelab TaHa yang baru menampilkan reka bentuk yang lebih kreatif dengan hanya menggabungkan huruf Jawi ‘Ta’ dan ‘Ha’, di mana merupakan singkatan daripada TH.

Gabungan kedua huruf Jawi itu menghasilkan emoji senyum yang melambangkan sikap dan persekitaran positif mencapai kejayaan selain merupakan amalan baik mengikut perspektif agama.

Kelab TaHa kini menawarkan kandungan e-pembelajaran dan bahan bacaan pada semua ahli menerusi sumbangan Rakan Kelab seperti MPH Bookstore dan Learninpal.

Rakan Kelab yang lain seperti Menara Optometry, F&N, The Family Storybox, Yayasan Ihsan, Percetakan Nasional Malaysia Berhad dan Tabung Haji Travel & Services turut memberi kelebihan yang menarik kepada ahli kelab seperti diskaun eksklusif dan berpeluang memenangi pelbagai hadiah lain.

“Dengan pelbagai keistimewaan dan aktiviti-aktiviti menarik ini, TH berharap dapat menarik generasi muda menerusi Kelab TaHa untuk mula menabung terutamanya bagi menunaikan haji,” tambahnya.

Selain itu tambah beliau, TH kini sedang giat meneruskan Kempen simpanan Daftar & Menang secara eksklusif untuk ahli Kelab TaHa.

Bagi menyertai kempen, ibu bapa perlu menambah simpanan bersih sekurang-kurangnya RM1,300 ke dalam akaun anak-anak mereka dan mendaftar untuk menunaikan haji.

Ahli Kelab TaHa berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM100,000 sepanjang tahun.

Untuk rekod, Kelab TaHa ditubuhkan bagi menarik minat pelajar berusia di antara 7 hingga 17 tahun agar mula menabung pada usia muda. -MalaysiaGazette