KANGAR – Kerajaan akan memperincikan kesalahan yang boleh dikenakan kompaun RM10,000 mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 bagi menangani kekeliruan dalam kalangan masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Katanya perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat COVID-19 esok.
“Kita akan terus kekalkan ordinan kompaun RM10,000 kepada individu dan RM50,000 kepada syarikat tetapi kerajaan memberi jaminan untuk selesaikan pelaksanaannya termasuk pengeluaran saman kepada mereka yang melakukan kesalahan,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata jika kesalahan yang dilakukan adalah kecil seperti tidak memakai pelitup muka, pesalah tidak wajar dikenakan kompaun RM10,000.
“Ketegasan undang-undang perlu ada tetapi pada masa yang sama budi bicara juga perlu ada bagi mewujudkan keseimbangan di antara kedua-duanya,” katanya.
— BERNAMA