Home Nasional Kesedaran hak pengguna di Malaysia masih tahap sederhana – Alexander

Kesedaran hak pengguna di Malaysia masih tahap sederhana – Alexander

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi,

KUALA LUMPUR – Rakyat dilihat masih belum benar-benar menghayati dan mempraktikkan hak mereka sebagai pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia dapat dibuktikan melalui rekod Indeks Pendayaupayaan Pengguna dalam negara yang kini pada tahap 63.1 peratus iaitu kategori sederhana.

Justeru katanya, kerajaan akan terus merangka program advokasi untuk mendidik penguna.

“Akan menjadi keutamaan untuk kementerian ini membangunkan strategi yang lebih berkesan yang memperkasakan pengguna untuk menyesuaikan diri dengan lebih banyak berkenaan cara hidup dengan lestari dan menangani isu kepenggunaan lain yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan seharian rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia dan Hari Pengguna Kebangsaan 2021 secara maya hari ini.

Majlis Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan itu diadakan julung kalinya pada tahun ini dengan tema menangani pencemaran plastik.

Kata Alexander, tema berkenaan merupakan kesinambungan kepada usaha berterusan KPDNHEP melahirkan pengguna bijak, berdaya upaya, mampu membuat pilihan dan tindakan yang terbaik.

Dalam masa yang sama mereka kena peka terhadap kelestarian alam sekitar.

Tambah Alexander, pengguna harus mengambil langkah yang wajar bagi merealisasikan matlamat kerajaan mewujudkan alam sekitar yang sihat demi kelangsungan kehidupan generasi muda kelak.

“Sedikit usaha sebagai pengguna seperti pelaksanaan konsep 7Rs (rethink, refuse, reduce, reuse, recycle, repair, and replace) mampu memberi impak yang tinggi dalam menguruskan bahan buangan plastik dengan lebih berkesan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemain industri dari pelbagai sektor perniagaan turut mengembleng usaha dengan mencari alternatif yang lebih mesra alam dalam penghasilan dan pembungkusan produk.

Selain itu katanya, badan bukan kerajaan juga berupaya mengubah minda pengguna termasuklah mendidik minda pengguna menerusi penganjuran program kitar semula dan program hidup sihat yang akan memberikan impak positif.

“Usaha dan kerjasama semua pihak mampu mengubah dunia ini menjadi lebih kondusif dan selamat untuk generasi akan datang,” katanya lagi.- MalaysiaGazette