GOMBAK – Berguru dengan internet untuk buat senjata.
Itu kebijaksanaan yang dimiliki seorang lelaki apabila menjadikan laman web sebagai gurunya untuk membuat senapang angin.
Bagaimanapun, kepakarannya itu akhirnya dapat dihidu sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang membuat serbuan di rumah suspek di Kampung Nakhoda di sini, pada 12 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata, dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 4.15 pagi itu polis menemukan senapang angin milik suspek berusia 30 tahun itu dan sepucuk pistol grib.
Katanya, menerusi soal siasat, lelaki terbabit yang tidak bekerja mengaku memiliki senjata tersebut untuk kegunaan memburu ayam hutan.
“Berdasarkan rekod, suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk kes dadah dan samun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Arifai, daripada serbuan itu polis merampas sebuah telefon bimbit, selaras senapang, tiga udi kayu, dua tabung pemadam api yang telah diubah suai, dua batang rod besi dan satu botol plastik berisi bebola besi.
Tambah beliau, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan.
Katanya, pihaknya telah mendapatkan perintah reman dari Mahkamah Majistret Selayang dan suspek direman selama enam hari sehingga Rabu ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Arifai memberitahu, pihaknya menahan seorang lelaki kerana melakukan samun terhadap wanita warga emas di Taman Ehsan, Selayang.
Beliau berkata, suspek dicekup di Taman Putra, Ampang.
Berdasarkan fakta kes, suspek telah datang ke rumah mangsa bersama seorang lagi rakannya dengan menaiki motosikal dan menawarkan untuk menyelenggara penghawa dingin rumah, katanya.
Jelas beliau, sejurus mangsa membuka pintu pagar suspek bertindak menarik rantai emas milik mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dan suspek melarikan diri.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, kerana melakukan samun,” ujarnya.
Katanya lagi, polis kini masih lagi memburu seorang lagi rakan suspek yang masih belum ditemui.
Suspek yang masih dicari itu dikenali dengan nama S. Sarwana Baharthi Raja berusia 54 tahun.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes tersebut. – MalaysiaGazette