KUALA LUMPUR: Pemain muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin cukup teruja dan bermotivasi apabila dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan pertama bermula 22 hingga 30 Mac ini, kata ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.
Katanya, pemain berusia 19 tahun itu berada pada tahap baik dengan keyakinan diri berbekalkan latihan dan pengalaman bersama beraksi bersama kelab Liga Belgium, KV Kortrijk.
“Memang kita sudah lama merancang untuk memanggilnya ke latihan skuad kebangsaan dan ini merupakan masa yang sesuai, selain kelab pun bersetuju untuk melepaskannya.
“Namun, kita tidak mahu memberikan tekanan kepadanya kerana kali pertama menyertai skuad senior,” katanya yang akan mengumpulkan pemain selepas lebih setahun sebagai persediaan ke kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun ini.
Menerusi entri Facebook KV Kortrijk semalam, foto penyerang berbisa skuad Bawah-19 tahun negara itu kelihatan membawa beg pakaiannya, bersedia untuk pulang ke tanah air buat kali pertama sejak menyertai kelab tersebut pada Ogos lalu.
Sementara itu, Cheng Hoe berkata, pemain naturalisasi baharu Guilherme De Paula juga bakal dipanggil ke kem tersebut, manakala keputusan mengenai pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Liridon Krasniqi yang kini dipinjamkan ke kelab Australia, Newcastle Jets, perlu dikaji semula kerana beberapa kekangan seperti kuarantin.
Katanya, senarai pemain yang dipanggil ke kem latihan, yang akan diadakan dalam norma baharu di sebalik perjuangan menentang pandemik COVID-19 itu, akan diumumkan dalam masa beberapa hari lagi.
Pengendali berusia 52 tahun dari Kedah itu, turut mahu melihat status kecederaan pemain seperti Muhammad Safawi Rasid (JDT) dan Brendan Gan (Selangor FC) sebelum membuat keputusan.
“Pemain baru mula beraksi dalam tiga perlawanan Liga Malaysia selepas sekian lama dan ada yang cedera. Jadi saya akan buat keputusan dalam masa satu atau dua hari lagi.
“Selepas lebih setahun sejak kem latihan, fokusnya adalah untuk mendapatkan semula teknik dan rentak permainan. Kita perlu menggilap kembali kemahiran, berusaha dengan gigih dan mendapatkan semula rentak pasukan.
“Pada masa sama, kami tidak boleh memberi tekanan yang banyak kepada pemain kerana mereka baru sahaja memulakan liga…akan beraksi hanya lima perlawanan sebelum menyertai kem latihan,” katanya.
Skuad Harimau Malaya dijadualkan menyambung balik aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, yang terganggu lebih setahun akibat COVID-19, menentang UAE pada 3 Jun, diikuti aksi menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).
Malaysia berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 apabila berada di kedudukan kedua Kumpulan G dengan sembilan mata selepas lima perlawanan. – MalaysiaGazette