Home SISWA MMU tawar yuran istimewa

MMU tawar yuran istimewa

Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd.Su’ud

KUALA LUMPUR – Universiti Multimedia (MMU), antara universiti terkemuka di Malaysia, menawarkan yuran istimewa bagi program Asasi dan yuran kemasukan khas untuk pelajar baharu pada sesi pengambilan April 2021 ini.

Yuran pengajian serendah RM6,000 seorang ditawarkan kepada semua pelajar Asasi yang layak kecuali program Undang-Undang.

Pada masa yang sama, pengecualian yuran kemasukan juga disediakan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma.

Para pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang berminat dengan tawaran ini, boleh membuat permohonan kemasukan ke MMU bagi pengambilan April ini dengan menggunakan keputusan percubaan.

Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud berkata, memandangkan wabak Covid-19 dan isu kewangan menjadi perhatian para pelajar ketika ini, maka MMU mengambil initiatif mengurangkan yuran tersebut.

Langkah untuk memastikan para pelajar yang layak, mampu melanjutkan pengajian ke menara gading demi masa depan yang lebih cerah.

“Ia juga sebagai langkah untuk mengurangkan beban kewangan ibu bapa dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan tinggi yang terbaik.

”Walaupun wabak ketika ini menjadi satu kekangan dalam sektor pengajian tinggi, namun ini lah masa terbaik untuk mengubah cabaran kepada peluang,” katanya.

Mazliham turut memberitahu bahawa initiatif MMU itu menggambarkan komitmen universiti dalam melaksanakan matlamatnya melahirkan tenaga mahir digital masa depan yang dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran tinggi menerusi program dan sukatan pengajian terini di MMU.

Sejajar dengan kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (MoHE) yang membenarkan para pelajar lepasan SPM memohon tempat di universiti menggunakan keputusan percubaan SPM, maka mereka boleh berbuat demikian untuk melanjutkan pengajian di peringkat Asasi dan Diploma di MMU.

Ditubuhkan pada 1997, MMU mempunyai dua kampus iaitu di Cyberjaya dan Melaka bagi menawarkan program di peringkat Asasi, Diploma, Siswazah dan Pasca Siswazah dalam pelbagai teras utama seperti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Komputer Sains, Multimedia Kreatif, Sesi Senimatik, Pengurusan Perniagaan, Kejuruteraan, Komunikasi Strategik dan Undang-Undang.

MMU turut menawarkan program Pasca Siswazah dalam mod kerja kursus, penyelidikan dan mod campuran. Para pelajar yang berminat boleh memilih pengajian dalam talian atau secara jarak jauh (ODL) dalam jurusan Sarjana Eksekutif Pentadbiran Perniagaan (E-MBA), Sarjana Multimedia (Pembelajaran Digital), dan Sarjana Sains Komputer dalam Kejuruteraan Perisian.

Selain itu, para pelajar juga boleh memohon menggunakan pengalaman kerja melalui Program Akredirasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) bagi peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana. MMU menerima sijil APEL A, iaitu pensijilan yang memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi.

Selepas diterima masuk sebagai pelajar, mereka berpeluang memohon APEL C yang membolehkan pengalaman dan pengetahuan terdahulu, digunakan untuk mendapat pindah kredit mata pelajaran ke dalam program akademik. Selain itu, MMU turut menawarkan modul pembelajaran Kelayakan Mikro (Micro Credential) untuk golongan pekerja yang layak dan berpengalaman kerja untuk pindahan kredit yang melayakkan mereka melanjutkan pengajian ke program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di MMU.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang pembelajaran di MMU, sila hubungi kaunselor MMU semasa di Hari Terbuka Secara Maya pada 27 dan 28 Mac 2021. Selain itu, sebarang informasi lanjut tentang program dan biasiswa juga boleh diperoleh dengan melayari www.mmu.edu.my – MalaysiaGazette