LONDON – England akan mengeluarkan Portugal daripada senarai merah pada hari Jumaat ini, umum Jabatan Pengangkutan.
Ini bermaksud pelancong yang pulang dari Portugal akan dibenarkan kuarantin di rumah dan bukannya di hotel dengan harga £1,750.
Tetapi Ethiopia, Oman, Somalia dan Qatar akan dimasukkan ke dalam senarai larangan perjalanan.
Di bawah peraturan semasa, perjalanan asing dari United Kingdom dilarang, kecuali untuk alasan luar biasa.
Tarikh paling awal warga England dapat pergi ke luar negara untuk bercuti adalah pada 17 Mei ini.
Namun Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps berkata, terlalu awal untuk menempah percutian musim panas kerana terlalu banyak persoalan untuk dijawab sejauh mana selamat untuk mengembara pada bulan Jun ini.
Senarai merah merupakan peraturan penggembaraan untuk menghentikam pelbagai varian Covid-19 memasuki negara.
Setelah perubahan berlaku, warganegara Britain dan Ireland atau penduduk yang tiba di England dari Ethiopia, Oman, Somalia dan Qatar harus dikuarantin di hotel yang diluluskan oleh kerajaan selama 10 hari, dan pelawat lain akan dibenar masuk.
Larangan pesawat komersial dan swasta yang bergerak dari Oman, Ethiopia dan Qatar juga akan berkuatkuasa pada hari Jumaat untuk mengurangkan risiko mengimport “varian yang menjadi perhatian”.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Pengangkutan menambah, Portugal telah dikeluarkan dari senarai merah, termasuk Madeira dan Azores, berikutan bukti yang menunjukkan risiko mengimport varian “telah berkurangan”.
Mauritius juga akan dikeluarkan daripada senarai merah.
Sementara itu, Portugal telah melanjutkan hingga 31 Mac larangan penerbangan komersial atau swasta antara Portugal dan UK, sebagai sebahagian daripada sekatan berterusan untuk mengekang penyebaran koronavirus.
Kerajaan Portugal mengatakan, hanya penerbangan “yang bersifat kemanusiaan” yang dibenarkan ke dan dari UK.
Larangan perjalanan sudah dikuatkuasakan untuk Emiriah Arab Bersatu, yang merupakan hab Teluk yang lain. – MalaysiaGazette