Home Nasional Covid-19 tak takut bunyi ekzos bising – Najib

Covid-19 tak takut bunyi ekzos bising – Najib

Anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) memeriksa motosikal yang mengubah suai ekzos semasa melakukan Operasi Bersepadu di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Operasi ekzos motosikal bising tidak membantu dalam usaha melawan Covid-19 dan tidak menyumbang kepada pemulihan ekonomi.

Itu pandangan sinikal bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, ketika pandemik bukan masa paling sesuai untuk melakukan operasi penguatkuasaan untuk mencari salah dan mengeluarkan saman secara besar-besaran kepada rakyat.

“Sebab virus Covid tak takut pada bunyi ekzos. Jika pengguna motor nak perbetulkan ekzos dan aksesori motor mereka pun perlukan masa dan wang.

“Tapi dalam krisis pandemik ini, ramai tidak ada duit berlebihan untuk memperbetulkannya,” ujarnya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Sebelum itu Najib mengulas pandangan kumpulan motosikal yang tidak berpuashati dengan tindakan undang-undang kepada mereka yang didakwa menambahkan beban kepada mereka yang terkesan dengan penularan Covid-19.

“Isu ekzos motor terlalu bising dan diubahsuai ini sudah lama wujud. Tidak dinafikan ianya melanggar undang-undang dan ianya juga kurang disukai ramai. Dan saya rasa penunggang motor juga bersetuju mengikut undang-undang.

“Ekoran itu, ramai anak-anak muda yang tidak lagi berani membawa bike keluar untuk mencari pendapatan sebab takut disaman dan bike disita,” kata Najib.

Menurutnya, sekiranya mahu operasi penguatkuasaan dilaksanakan, beliau berpendapat, lebih adil untuk memberi tempoh pengampunan selama separuh tahun atau setahun selepas Covid sudah berakhir dan ekonomi telah pulih untuk memberi peluang pengguna motosikal mencari pendapatan untuk mengubahsuai kenderaan mereka.

“Berilah tempoh yang munasabah bagi anak-anak muda untuk bernafas semula ketika pandemik Covid-19 ini.

“Jika Parlimen boleh ditangguh dengan alasan tak masuk akal sehingga darurat berakhir dan PRU boleh diketepikan dengan alasan perlu tunggu sehingga pandemik berakhir, kenapa pula operasi penguatkuasaan ekzos serta aksesori motor tidak boleh ditangguh selagi ianya tidak membahayakan nyawa?” soal Najib.

Pada masa ini, beliau mencadangkan penguatkuasaan boleh bermula dari sekarang juga dengan menyasarkan kedai-kedai aksesori dan motor untuk memastikan penjualan aksesori tidak dibenarkan dan pengubahsuaian ekzos keterlaluan tidak berlaku lagi.- MalaysiaGazette