Home Ekonomi MIROS, MARii lancar MyMAP beri penarafan motosikal keluaran Malaysia

MIROS, MARii lancar MyMAP beri penarafan motosikal keluaran Malaysia

KUALA LUMPUR –  Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) akan melaksanakan program penilaian motosikal atau Malaysia Motorcycle Assessment Program (MyMAP).
Program yang akan dilancarkan pada penghujung Mac ini akan memberi penarafan bintang kepada motosikal yang dikeluarkan di negara ini.
MyMAP dibentuk berlandaskan pengalaman MIROS dalam membangunkan ASEAN NCAP, yang terlebih dahulu dimulakan oleh Malaysia Vehicle Assessment Program (MyVAP).
Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik MIROS, Ts. Zulhaidi Mohd Jawi berkata, kewujudan MyMAP titik permulaan untuk meningkatkan tahap keselamatan motosikal khususnya melalui kaedah teknikal dan teknologi.
Bagi merealisasikan program berkenaan, beberapa siri perbincangan antara pihak MIROS dan MARii serta pengeluar motosikal telah dilaksanakan dan mendapat sambutan dan maklumbalas yang positif berhubung hasrat untuk melaksanakan program ini.
Kerjasama antara pihak pengeluar dan MIROS adalah sangat penting bagi memastikan produk motosikal yang dihasilkan adalah selamat di jalan raya.
MyMAP akan dinilai melalui empat kriteria atau komponen utama iaitu pematuhan kepada peraturan United Nations Economic Commission for Europe (UNECE), Comformity of Production (COP), teknologi ciri keselamatan dan juga program
sokongan.
MIROS berkata, salah satu ciri yang ditekankan dalam teknologi ciri keselamatan adalah sistem brek.
Program berkenaan melibatkan penarafan bermula satu bintang sehingga maksimum lima bintang bergantung kepada aspek yang dinilai.
Menurutnya, sebagai permulaan, program itu akan dijalankan secara sukarela dan terhad kepada motosikal berkapasiti
250cc dan ke bawah.
Perincian terhadap kerangka utama akan dimaklumkan semasa pelancaran program ini nanti. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.