KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan dan hukuman segera terhadap individu yang melakukan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) tanpa mengira latar belakang.
Pengasas Bersama Muda, Mutalib Uthman berkata, sehingga kini rakyat masih tidak mengetahui bentuk hukuman dikenakan ke atas orang kenamaan (VIP) mahupun para menteri yang didakwa melanggar SOP walaupun siasatan telah dijalankan.
“Muda mahu pihak kepimpinan kerajaan dan polis mengambil tindakan terhadap layanan dua darjat atau double standard yang diterima oleh menteri atau VIP berbanding rakyat dalam mematuhi SOP kesihatan.
“Pihak yang bertanggungjawab mesti menyiasat semua kes yang melibatkan kumpulan berkenaan serta mendedahkan setiap proses dan hasil siasatan yang dijalankan secara telus dan adil.
“Tindakan penguatkuasaan juga perlu segera dan tegas ke atas semua pihak tanpa mengira latar belakang, kedudukan mahupun pengaruh kuasa,” katanya.
Terdahulu Mutalib bersama jurucakap Muda, Amir Abd. Hadi membuat laporan polis terhadap perlanggaran SOP membabitkan golongan menteri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Mutalib turut menyebut beberapa nama barisan menteri yang dikatakan melanggar SOP antaranya Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada 13 Februari lalu ketika menghadiri majlis di Desa Petaling dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir majlis rasmi kementerian berkenaan di Pangkalan Udara Sendayan pada Sabtu lalu.
Selain itu, Mutalib turut menyenaraikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin yang membuat flag-off acara berbasikal di Taman Bukit Kiara.
Sementara itu, Amir berkata, parti tersebut turut mengambil inisiatif melancarkan sebuah laman web, lapormenteri.com, yang bertujuan mengumpul aduan dan maklumat berkaitan golongan tersebut yang melanggar SOP.
“Siapa pun mereka tidak kira kerajaan atau pembangkang mahupun VIP laporkan di situ.
“Kita juga akan buat beberapa siri laporan dan desak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sehingga mereka-mereka ini dikenakan tindakan yang tegas,” ujarnya. – MalaysiaGazette