Home Dunia WHO gesa dunia jangan hentikan vaksinasi Covid-19 ekoran isu AstraZeneca

WHO gesa dunia jangan hentikan vaksinasi Covid-19 ekoran isu AstraZeneca

Ibu Pejabat WHO di Geneva

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru semua negara supaya tidak menghentikan kempen vaksinasi walaupun penggunaan vaksin Covid-19 AstraZeneca digantung sementara ekoran keprihatinan tentang soal keselamatannya.

Sehubungan itu, Thailand semalam telah mengumumkania akan meneruskan vaksinasi AstraZeneca namun Indonesia menyatakan pihaknya akan menunggu selepas Ireland dan Belanda mengumumkan susulan ekoran penggantungan vaksin berkenaan pada Ahad lalu.

Sementara itu, Jerman semalam mengumumkan ia akan menggantung vaksinasi AstraZeneca, menyusuli saranan dari Institut Paul Ehrlich serta badan penguasa yang bertanggungjawab atas vaksinasi di negara itu.

Selain itu, Perancis dan Itali juga telah memutuskan untuk menghentikan pemberian vaksin yang sama.

Perdana Menteri Perancis, Emmanuel Macron berkata, Perancis akan berhenti menggunakan vaksin itu sementara menanti penilaian oleh pengawal selia perubatan Kesatuan Eropah.

Menurut Perdana Menteri Itali, Mario Draghi pula, beliau juga membuat keputusan untuk menggantung penggunaan vaksin itu setelah berbincang dengan menteri kesihatannya.

Bagaimanapun, Denmark dan Norway pula melaporkan kes-kes terpencil bagi pendarahan, darah beku dan bilangan platelet rendah selepas menerima vaksin AstraZeneca.

Sehubungan itu, Iceland dan Bulgaria sebelum ini menggantung penggunaannya manakala Australia berhenti menggunakan kumpulan-kumpulan vaksin tertentu.

Mengulas lanjut, jurucakap WHO, Christian Lindmeier menyatakan panel penasihatnya sedang mengkaji semula laporan-laporan berkaitan vaksin itu dan akan menerbitkan dapatannya secepat mungkin.

“Namun ia berkemungkinan tidak akan mengubah saranan yang dikeluarkan pada bulan lalu bagi penggunaan secara meluas, termasuk di negara-negara yang mana varian Afrika Selatan virus itu mungkin menjejas keberkesanannya.

“Setakat hari ini, tiada bukti bahawa insiden-insiden itu disebabkan oleh vaksin tersebut dan adalah penting kempen-kempen vaksinasi diteruskan supaya kita boleh menyelamatkan nyawa dan membendung penyakit serius ditimbulkan daripada virus itu,” katanya kepada berita Reuters.

Vaksin AstraZeneca adalah yang pertama dan paling murah untuk dihasilkan dan dilancarkan dalam jumlah yang banyak sejak koronavirus pertama kali dikesan di China pada penghujung 2019.

Ia juga dijangka sebagai tunggak utama bagi program-program vaksinasi dalam sebilangan besar negara-negara membangun. -MalaysiaGazette