NIGER – Sekurang-kurangnya 58 orang terbunuh dalam serangan berhampiran di sempadan Mali.
Menurut laporan British Broadcasting Corporation (BBC), kumpulan bersenjata itu melepaskan tembakan ke atas empat kenderaan yang membawa orang pulang dari pasar minggu di Wilayah Tillabéri ke kampung Chinedogar dan Darey-Daye.
“Akibat perbuatan kejam ini, 58 orang maut manakala seorang cedera.
“Selain itu, beberapa gudang menyimpan bijirin serta dua kenderaan juga terbakar manakala dua lagi kenderaan telah dirampas.
“Namun, setakat ini masih tiada kumpulan yang mahu bertanggungjawab terhadap serangan itu,” menurut akhbar BBC.
Niger kini bergolak akibat pertempuran antara dua kumpulan pemberontak di barat berdekatan Mali dan Burkina Faso berikutan perang lebih sedekad di kawasan sempadan dengan Nigeria.
Serangan terbaru di wilayah Tillaberi itu membabitkan sempadan tiga negara yang turut menjadi kawasan pertempuran bagi Niger, Burkina Faso dan Mali.
Berikutan kejadian, kerajaannya mengumumkan untuk berkabung selama tiga hari bermula hari ini dan meminta penduduk setempat berhati-hati.
Pihak berkuasa kerajaan itu juga berikrar akan memburu penjenayah terbabit. -MalaysiaGazette