WASHINGTON – Seorang lelaki telah ditahan atas tuduhan mengugut mahu membunuh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, pemimpin Demokrat, Nancy Pelosi dan Gretchen Whitmer.
Tertuduh, Joshua Doctor, 21, didakwa oleh Peguam Negara Michigan, Dana Nessel atas kesalahan tersebut.
Menurut Nessel, pada Januari lalu Doctor telah didakwa memuat naik beberapa komen berbaur ugutan di laman sosialnya iFunny.
“Dalam paparan berkenaan, Doctor berkata dia akan menggunakan pistol untuk menembak dan membunuh wakil rakyat serta mendakwa ia akan menjadi pemangkin revolusi baharu AS.
“Dikatakan, telefon pintar milik Doktor mempunyai sejumlah maklumat tentang cara bagaimana untuk menghasilkan bom dan di mana mahu mencari bahan yang diperlukan untuk membuatnya,” katanya menurut laporan Reuters.
Sehubungan itu, Doctor yang menyerah diri semalam dituduh kerana mengancam melakukan keganasan dan menggunakan komputer bagi melakukan jenayah.
Jika disabitkan kesalahan, hukuman sehingga 20 tahun akan dikenakan dan diarahan hadir di mahkamah pada 8 April ini.
Terdahulu, pada akhir Januari lalu, kerajaan AS telah mengeluarkan amaran anti keganasan yang pertama kali bagi ugutan pelampau terhadap Biden.
Dalam ucapannya pada 20 Januari lalu, Biden berjanji akan mengalahkan kebangkitan politik ekstremisme, ketuanan kulit putih dan keganasan domestik. – MalaysiaGazette