KUALA LUMPUR – Deretan kedai di pasar Datuk Keramat terbakar pada petang tadi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Komander Operasi Kanan Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB), Mohd Fahmi Abd Rahim berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada jam 17.26 petang mengerahkan jentera ke tempat kejadian.
Katanya, setibanya jentera dilokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran melibatkan deretan gerai dianggarkan berkeluasan 10 kali dan dan 15 kaki panjang.
“Struktur gerai yang berada dalam keadaan rapat diantara satu sama lain dan berkemungkinan tidak mempunyai dinding pemisah api mengakibatkan kebakaran merebak dengan pantas pada gerai bersebelahan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian itu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, Setapak, Wangsa Maju, Hang Tuah dikerahkan ke lokasi bersama lima buah jentera Fire Rescue Tender (FRT), empat buah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dua buah buah Water Tanker, sebuah buah jentera Aerial Ladder Platform (ALP) dan tiga buah unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dengan kekuatan 58 orang anggota.
Menurut Mohd Fahmi, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.25 petang.
Tambah beliau, punca kejadian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette