KUALA LUMPUR – Kepakaran tenaga kerja dalam bidang sains sukan di Malaysia dilihat setanding negara kuasa besar sukan dunia menerusi penyelidikan dan pembangunan prestasi jaguh berbasikal trek kebangsaan Mohd Azizulhasni Awang menjelang Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.
Kejayaan Mohd Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman membuktikan penolakan konsep anthropometrical superiority sejak awal 90-an berasas, menerusi kajian dalam bidang berkaitan sehingga beliau bergelar juara dunia bagi acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia pada 2017.
Anthropometrical superiority merujuk kepada konsep saiz dan bentuk fizikal sentiasa beri kelebihan dalam sukan.
Kini, konsep peningkatan marginal ditekankan pasukan Sukan Berbasikal Olimpik serta Mohd Azizulhasni dengan mengambil kira aspek attention to details iaitu mencapai ketelitian dan ketepatan ketika menyelesaikan tugas dengan penuh perhatian terhadap semua bidang yang terlibat.
Melalui konsep tersebut, Team Lead Sukan Berbasikal Olimpik Mohd Izham Mohammad berkata pasukan menjalankan penilaian terhadap setiap aspek yang boleh membantu memaksimumkan apa jua potensi dimiliki Mohd Azizulhasni ke arah pencapaian prestasi tertinggi.
“Sebagai contoh dengan mengambil kira faktor beliau (Mohd Azizulhasni) yang memiliki komposisi tubuh yang rendah berbanding atlet lain, dalam sukan berbasikal ia turut memberi kelebihan dari segi rintangan angin,” katanya kepada Bernama.
“Saiz fizikal rendah dan kecil menyebabkan frontal surface area yang kecil dan rintangan angin lebih rendah berbanding pesaing lebih besar. Justeru kami banyak menumpukan dalam mengoptimumkan komposisi otot dan posisi beliau bagi memperoleh prestasi optimum,” tambah Mohd Izham.
Menurut pakar sains sukan Prof Madya Dr Mohd Khairi Zawi, dalam aspek fisiologi atau sifat fizikal, ada kalanya atlet bersaiz kecil mungkin memiliki komposisi otot sentak cepat lebih padat berbanding atlet berbadan lebih besar.
Jelas pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, faktor tersebut juga boleh menjamin potensi kejayaan dalam sukan yang bersifat explosive dan anaerobik seperti berbasikal trek selain faktor penumpuan terhadap sudut biomekanik.
“Dalam aspek biomekanik kita boleh memaksimumkan aspek ergonomik berkaitan, contohnya dalam sukan berbasikal dengan mendapatkan reka bentuk basikal secocok dengan dinamik pelumba sehingga seolah-olah basikal dan pelumba umpama satu entiti,” katanya seperti dipetik dalam artikel Institut Sukan Negara (ISN).
Tidak dinafikan Mohd Azizulhasni kini boleh dianggap prospek utama merealisasikan impian pingat emas pertama Sukan Olimpik negara apabila berada di kedudukan pertama acara pecut individu dan kedua keirin berdasarkan ranking terkini dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) baru-baru ini.
Sasaran diletakkan ke atas Mohd Azizulhasni meraih pingat emas pada temasya Olimpik Tokyo bukan lagi rahsia malah pasukan Sukan Berbasikal Olimpik sebelum ini telah membentangkan perancangan prestasi 2016-2020 dengan penumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan sukan berbasikal.
Mohd Izham yang juga Ketua Pusat Pemakanan Sukan di ISN berkata ia mengambil kira pesaing seperti Australia dan Great Britain yang telah banyak melaburkan wang dan kepakaran sejak Sukan Olimpik 2004 di Athens melalui program penyelidikan dan pembangunan.
“Semasa melakukan proses performance gap, kami mendapati sekiranya aspek maginal gains dan performance solution diutamakan, kita berpeluang memperbaiki kedudukan pingat pada Sukan Olimpik Tokyo akan datang.
“Berdasarkan fakta serta data dibentangkan dan selaras dengan hala tuju Program Podium ketika itu memenangi emas pertama di Sukan Olimpik 2020, panel High Performance Command & Control (HPCC) yang dianggotai KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MSN (Majlis Sukan Negara), MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan ISN yakin dengan perancangan ini,” katanya.
Jika diimbas, kejayaan membanggakan Mohd Azizulhasni muncul juara dunia hadir hanya selepas lapan bulan mencipta sejarah menjadi atlet berbasikal pertama negara menaiki podium Olimpik apabila merangkul pingat gangsa acara keirin pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Kecemerlangan pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu di pentas tertinggi berterusan apabila meraih pingat emas acara pecut Sukan Asia 2018 di Jakarta yang juga emas keduanya dalam acara individu selepas memenangi emas acara keirin pada edisi 2010.
Beliau terus konsisten menempatkan diri dalam kelompok pelumba berbasikal trek elit dunia dalam mempersiapkan diri menghadapi temasya Olimpik Tokyo dengan merangkul pingat gangsa acara keirin dan pecut individu di Kejohanan Dunia 2020.
Bagaimanapun, tugas berat menanti pasukan Sukan Berbasikal Olimpik dan barisan kejurulatihan menjelang Sukan Olimpik apabila faktor kecederaan dan demam antara elemen yang mampu menggugat prestasi dalam persediaan mencapai prestasi puncak pada sesuatu kejohanan besar.
“Sekiranya atlet mengalami kecederaan ataupun demam, kita terpaksa mengurangkan intensiti latihan dan mengambil masa untuk pulih, jadi kami telah mengambil langkah pencegahan seperti menjalani latihan serta fisioterapi dan sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran.
“Keseimbangan daripada bebanan latihan, pemakanan dan pemulihan termasuk waktu tidur adalah sangat penting bagi Mohd Azizulhasni dalam persediaan terakhir ke temasya Sukan Olimpik 2020,” jelas Mohd Izham.- BERNAMA