
KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi lokaliti Rumah Sewa Anong dan Rumah Sewa Baverly Hills di Bintulu, Sarawak dilanjutkan seminggu lagi sehingga 25 Mac ini.
Ini berikutan masih berlaku penularan kes positif Covid-19 melibatkan penduduk di rumah sewa berkenaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini kerajaan melaksanakan PKPD di lokaliti itu yang dijadualkan tamat esok.
Bagaimanapun, katanya, daripada 1,407 ujian saringan yang dilakukan, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati 85 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“Selain itu, KKM juga telah melaksanakan ujian saringan kedua Covid-19 dan masih lagi menunggu keputusan.
“Sehingga kini, KKM mengesahkan masih berlaku penularan kes melibatkan kalangan penduduk di rumah sewa terbabit.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di lokaliti ini bermula 19 Mac sehingga 25 Mac ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mengenai saringan wajib pekerja warga asing, beliau berkata, seramai 3,567 orang telah menjalani ujian saringan itu semalam, dan daripada jumlah itu, 35 didapati positif Covid-19.
Secara kumulatifnya, kata beliau, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 627,010 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan melibatkan 32,425 majikan.
“Daripada jumlah itu, 9,807 orang telah disahkan positif Covid-19, manakala 617,203 lagi adalah negative dan sehingga kini juga, sebanyak 1,529 klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, seramai seramai 125 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dalam operasi pematuhan semalam.
Katanya, 111 orang dikenakan kompaun, manakala 14 individu lagi direman atas kesalahan rentas daerah/negeri tanpa kebenaran, tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan, tiada penjarakan fizikal, ingkar arahan kuarantin dan aktiviti pusat hiburan. – MalaysiaGazette