Home Nasional PTPTN bantu 1,480 pelajar asnaf di 37 IPT

PTPTN bantu 1,480 pelajar asnaf di 37 IPT

Sesi penyerahan sumbangan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan, kepada Presiden MPPK, Amir Asyraf berjumlah RM148,000.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM148,000 bagi membantu seramai 1,480 pelajar asnaf daripada 37 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.

Dalam satu kenyataan PTPTN memaklumkan, pelajar asnaf yang terlibat itu menerima bantuan menerusi zakat PTPTN dengan setiap seorang akan menerima RM100 berupa simpanan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Katanya, ia merupakan program dengan kerjasama Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dalam usaha membantu pelajar-pelajar asnaf yang sedang melanjutkan pengajian diperingkat IPT.

“Usaha ini selaras dengan peranan PTPTN sebagai tabung pendidikan utama negara serta salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sentiasa cakna dengan keperluan pelajar IPT.

“MPPK akan menyalurkan maklumat pelajar asnaf yang terlibat kepada PTPTN berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) IPT masing-masing bagi memastikan sumbangan ini dapat disalurkan kepada pelajar yang layak,” katanya.

Terdahulu, sebelum itu, PTPTN berkata, sumbangan dalam bentuk replika kad disampaikan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan, kepada Presiden MPPK Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri yang merupakan antara wakil pelajar yang menerima sumbangan.

Turut hadir pada majlis penyerahan itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) KPT, Dr. Mohd Suzeren
Md Jamil yang juga merangkap Penasihat MPPK.

Pada majlis itu Wan Saiful berkata, PTPTN memahami kesusahan yang dialami pelajar-pelajar asnaf yang menuntut di IPT.

Katanya, menerusi bantuan yang diberikan ia sedikit sebanyak dapat membantu pelajar-pelajar meneruskan pengajian mereka.

“Dengan pelbagai cabaran yang datang terutama pandemik Covid-19 yang masih belum reda dan situasi ekonomi yang melanda negara, harapan saya agar pelajar dapat meneruskan pengajian dengan baik.

“Alhamdulillah, dengan kerjasama MPPK sebagai badan perwakilan pelajar yang menjaga kebajikan pelajar, PTPTN dapat
merealisasikan hasrat untuk membantu golongan pelajar asnaf terlibat,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Amir Asyraf pada majlis tersebut berkata, pihaknya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada PTPTN di atas inisiatif yang telah diadakan bagi membantu golongan asnaf dalam kalangan pelajar di IPT.

Ujarnya, MPPK menyambut baik dan bersyukur atas usaha tersebut terutama ketika negara dilanda pandemik Covid-19 kerana ia dapat membantu meringankan beban kewangan pelajar. – MalaysiaGazette