Home Nasional Kampus Uniten cawangan Muadzam tidak akan ditutup – Mahdzir

Kampus Uniten cawangan Muadzam tidak akan ditutup – Mahdzir

KUANTAN – Pengerusi Tenaga Nasional berhad, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan dakwaan kampus Universiti Tenaga Nasional (Uniten) cawangan Muadzam akan ditutup kerana kekurangan pelajar.

Menurut beliau, kini kampus tersebut mempunyai 1,400 penuntut berbanding 4,000 pelajar sebelum ini.

Berikutan itu, katanya, pihaknya mengadakan koloborasi bersama berberapa agensi pendidikan seperti Yayasan Tenaga Nasional, Yayasan Pahang dan Yayasan Canselor United bagi meningkatkan kemasukan pelajar.

“Uniten kampus Muadzam tidak akan ditutup tetapi pihak pengurusan berusaha fikirkan bagaimana hendak menambahkan bilangan pelajar.

“Usaha menaikkan jumlah pelajar di kampus ini bukan sehaja baik untuk kampus, tetapi memberi manfaat kepada orang sekeliling dan ibu bapa,” katanya pada sidang media sejurus selesai Program Ceria Ke Sekolah TNB di Hotel Grand Makmur, Kuantan.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB Pahang), Datuk Badrul Sham Saad.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Pengerusi TNB berkata, syarikat utiliti itu akan terus memainkan peranan khidmat masyarakat dalam sektor pendidikan dan perkhidmatan komuniti.

Tambah beliau, seramai 2,200 pelajar sekolah rendah di seluruh negeri Pahang menerima manfaat Program Ceria ke Sekolah.

“Sebanyak RM220,000 diperuntukan bagi Program Ceria ke Sekolah melibatkan seluruh 14 Parlimen di seluruh Pahang dan disalurkan terus kepada akaun PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) sekolah.

Selain itu, tambah beliau, seramai 2,500 penerima biasiswa pendidikan di Institut Pengajian Tinggi Awam turut ditaja TNB selain daripada menaja pasukan hoki negara.

Selain itu, program membaiki rumah seperti ‘Baiti Jannati’ dan program kesedaran alam sekitar turut menjadi sasaran penglibatan TNB dalam khidmat sosial, ujarnya.

“TNB juga menyumbang RM250,000 kepada Kerajaan Negeri Pahang bagi membantu mangsa banjir Januari lalu,” katanya. – MalaysiaGazette