PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin melahirkan rasa pelik terhadap dakwaan kewujudan ‘kartel PDRM’ seperti yang dinyatakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Hamzah berkata, sekiranya dakwaan Abdul Hamid itu benar, beliau sepatutnya membawa perkara itu dalam mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang diadakan dua bulan sekali.
“Ada kartel PDRM. Saya sebagai pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis, ini pertama kali ada perkataan kartel dalam polis. Maka saya akan lihat itu semua.
“Kalau betul, kita akan pastikan tidak ada kartel. Jadi kalau IGP (Ketua Polis Negara) tahu ada kartel, patutnya dia jawab dalam SPP.
“Dia tak pernah bawa pun isu ini dalam SPP padahal ini adalah merupakan suruhanjaya tertinggi dalam perkhidmatan polis, dia patut bawa di situ dahulu dan bincang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan ‘Bas Mobile’ JPN Generasi Baharu di kementeriannya, hari ini.
Semalam, Abdul Hamid mendedahkan terdapat pegawai muda dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang berhasrat untuk menjatuhkannya.
Dalam program Sinar Live bersama Ketua Polis Negara semalam, Abdul Hamid mendedahkan bahawa sekumpulan pegawai muda itu berhasrat untuk menjatuhkan beliau, seterusnya mendominasi pasukan tersebut agar memudahkan mereka melakukan ‘kerja-kerja kotor’.
Menurut Abdul Hamid, gerakan tersebut merupakan kumpulan sama yang mendalangi ‘kartel PDRM’ yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.
Dalam pada itu, Hamzah menasihatkan agar Abdul Hamid membangkit perkara tersebut dalam mesyuarat SPP.
“Saya tak mengarahkan, cuma kalau ada pun dia sepatutnya bawa ke mesyuarat SPP. Saya nak maklumkan SPP ada kita buat penilaian sekurang-kurangnya setiap dua bulan kita ada mesyuarat,” katanya.
Ditanya mengenai kenyataan Abdul Hamid yang kontrak selaam dua tahun akan tamat pada 3 Mei depan, Hamzah berkata, perkara itu tidak perlu dipersoalkan.
Ini kerana beliau gembira dengan perkhidmatan Abdul Hamid sebagai Ketua Polis Negara, ujarnya.
“Saya gembira dengan apa perkhidmatan yang diberikan setakat ini. Jadi jangan cakap tentang masa depan dia, apa yang penting adalah saya gembira dengan perkhidmatan beliau,” jelas beliau. – MalaysiaGazette
ex igp musa hassan adalah yg terbaik ..
Dah naik secara politik, nak bersara pun main politik