Home Nasional MAQIS tidak benarkan telur dicemari SE diimport semula

MAQIS tidak benarkan telur dicemari SE diimport semula

Telur
Krisis bekalan telur ayam semakin memuncak apabila bekalan di seluruh negara dijangka merosot sehingga 4.5 juta biji sehari atau lebih sekiranya kerajaan terus mengekalkan harga sedia ada tanpa sebarang kenaikan atau subsidi.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) tidak akan mempertimbangkan permohonan pengimportan semula telur yang telah tercemar dengan bakteria Salmonella Enteriditis (SE), dari Singapura.

MAQIS dalam kenyataan hari ini menyatakan, pihaknya mengambil maklum berkenaan kenyataan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) pada Ahad lepas, berkaitan pengesanan kehadiran bakteria SE pada konsainan telur eksport daripada Malaysia.

“MAQIS akan memastikan pegawai di lapangan untuk memantapkan lagi pemeriksaan, supaya kebarangkalian untuk telur ini diimport semula tidak akan berlaku.

“Kerjasama strategik dan operasi bersepadu MAQIS akan sentiasa diperkemaskan dan dipertingkatkan, bagi memastikan kawalan import komoditi pertanian dapat diperkukuhkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan, MAQIS sentiasa merujuk DVS bagi apa-apa keputusan berkenaan isu yang berbangkit, berkenaan pengimportan dan pengeksportan komoditi haiwan dan hasilan haiwan terutamanya telur.

“Pihak MAQIS sangat komited dalam memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak merbahaya, yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette