TARAF kesihatan di sektor kesihatan semakin baik samaada pada peringkat kebangsaan
ataupun global. Semakin ramai warga emas yang hidup sehingga 80 atau 90 tahun dan ada yang mencecah lebih 100 tahun. Namun bersediakah kita dengan penjagaan warga emas ini. Dengan fizikal mereka yang lemah ditambah dengan pelbagai penyakit kronik yang dihidapi, golongan ini sangat terdedah dengan pelbagai risiko penyakit dan kecederaan. Mereka memerlukan penjagaan yang khusus merangkumi pelbagai aspek untuk memastikan mereka terhindar dari bahaya.
Warga emas ditakrifkan sebagai mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Menurut jabatan
perangkaan Malaysia, pada tahun 2020 terdapat sebanyak 3.5 juta warga emas (10.7 %) dan ini meningkat jika dibandingkan dengan jumlah pada tahun 2019 iaitu 3.4 juta (10.4 %) dan 2018 (6.5 %). Ini bukan satu jumlah yang sedikit. Walaupun golongan ini tiada penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi, tetapi fizikal mereka yang lemah,ingatan mereka yang semakin pudar serta keadaan sosial mereka yang serba kekurangan menyebabkan mereka tidak boleh dikategorikan sebagai sihat.
Mengikut definisi WHO, kesihatan bukan hanya bermaksud seseorang tidak mempunyai
sebarang penyakit, malah kesihatan yang baik mencakupi kesejahteraan fizikal, mental dan sosial. Keadaan ini juga menyebabkan mereka sangat terdedah dengan pelbagai jenis
kecederaan dan penyakit berjangkit. Kita lihat sahaja statistik kematian untuk COVID-19,
62.6 % adalah mewakili mereka yang berumur 60 tahun ke atas di mana 80.7% daripada
mereka menghidapi penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi,buah pinggang ,
jantung dan lain-lain.
Di dalam bidang perubatan, warga emas dimasukkan ke dalam kategori geriatrik, penjagaan kesihatan warga emas secara holistik. Bidang ini tidak popular dan masih tidak ramai pakar yang mengambilnya. Mungkin 10 atau 20 tahun dahulu, masih tidak dilihat keperluan untuk menyambung kepakaran di dalam bidang ini. Pada masa kini, penjagaan kesihatan warga emas banyak ditangani oleh doktor pakar perubatan, pakar perubatan keluarga dan doktor-doktor di klinik swasta.
Apabila warga emas jatuh sakit, keadaan fisiologi mereka yang lemah, imuniti mereka yang rendah ditambah dengan penyakit kronik menyebabkan mereka mudah mendapat sakit yang teruk dan sukar sembuh. Ramai antara mereka akan mengalami respons yang berlebihan terhadap penyakit dan ini merosakkan lagi sistem dan organ dalaman yang sedia rosak. Jika mereka menghadapi sakit yang memerlukan pembedahan seperti jangkitan kuman di dalam abdomen ataupun jenis kanser yang memerlukan pembedahan seperti kanser usus dan kanser esofagus, mereka dikategorikan sebagai pesakit yang sangat berisiko tinggi dan boleh mengalami kematian akibat pembedahan sama ada semasa atau selepas pembedahan.
Harus di ingat bahawa jenis kanser seperti kanser usus, kanser perut dan kanser esofagus memang insiden tertinggi adalah pada mereka yang berumur 60 tahun ke atas.
Walaupun bernasib baik untuk sembuh dari penyakit, ramai yang tidak dapat kembali seperti sedia kala. Ada yang akan menjadi pesakit terlantar dan memerlukan bantuan penuh untuk hidup termasuk makan minum serta kebersihan diri. Paling tidak mereka akan kehilangan beberapa fungsi mereka seperti tidak kuat berjalan dan memerlukan bantuan, tidak dapat mengawal pengeluaran najis dan lain-lain kekurangan. Proses rehabilitasi atau mengembalikan mereka kepada fungsi seperti sebelum sakit atau menghampirinya memerlukan pekerja yang terlatih.
Pusat-pusat rehabilitasi masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan kerana harus dikongsikan dengan mereka yang terlantar akibat masalah tulang belakang atau kecederaaan kepala dan lain-lain. Walaupun kebajikan masyarakat dan badan persendirian telah menyediakan rumah-rumah jagaan orang tua tetapi masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang banyak.
Apatah lagi jika warga emas tersebut adalah juga pesakit terlantar dan memerlukan jagaan khusus. Fenomena yang selalu berlaku di hospital adalah apabila warga emas yang telah duduk berbulan-bulan, tidak dapat discaj disebabkan ahli keluarga tidak bersedia menjaga mereka kerana pelbagai faktor seperti tiada yang dapat menjaga akibat kesibukan bekerja, tiada sumber kewangan yang mencukupi dan tiada ruang di rumah yang sempit. Di tambah pula kesukaran untuk mendapatkan rumah kebajikan yang bersesuaian dan harus menunggu kekosongan.
Memilih sendiri untuk menjaga warga emas tanpa persediaan yang cukup juga boleh
mengundang bahaya. Membiarkan warga emas sendirian di rumah tanpa penjagaan boleh
mengakibatkan kecederaan seperti jatuh tangga atau jatuh di bilik air dan menyebabkan
kecederaan kepala dan kebakaran di dapur. Apatah lagi jika warga emas ini dibiarkan
menaiki kenderaan seperti motosikal, dengan mata yang kabur, kudrat yang semakin lemah mereka sangat terdedah kepada risiko kemalangan.
Mewujudkan pusat jagaan harian untuk warga emas adalah satu pilihan yang bijak. Anak-
anak masih boleh tinggal dengan orang tua mereka di rumah masing-masing. Apabila keluar bekerja ,ibu bapa diletak di pusat jagaan harian yang mana ini boleh menjadi pusat untuk mereka membuat pelbagai aktiviti, mendapatkan khi dmat fisioterapi dan yang paling penting mereka di jaga dan diperhatikan. Selepas habis bekerja , ibu bapa diambil semula dan di bawa pulang. Ibu bapa lebih ceria dan tidak merasa kesunyian dan disisihkan dan anak-anak masih boleh mencurahkan kasih sayang. Tidak sama dengan meninggalkan mereka dengan pembantu rumah yang kurang kemahiran.
Warga emas masih lagi aset negara yang bernilai. Ramai antara mereka masih menjadi
penyumbang utama dalam ekonomi dan menjadi pembuat dasar di dalam negara. Dengan
ilmu dan pengalaman mereka yang banyak ditambah dengan sifat kesabaran yang tinggi,
mereka masih lagi diperlukan sekurang-kurangnya untuk memberi buah fikiran dan
pandangan dalam sesuatu masalah. Kita juga pernah dipimpin oleh Perdana Menteri yang
berumur lebih 90 walaupun dalam masa yang singkat.
Untuk anak-anak pula membalas jasa orang tua adalah kewajipan. Di dalam Al-quran banyak diterangkan tentang kewajipan menjaga dan menghormati ibu bapa yang merupakan warga emas. Ingatlah bahawa tanpa mereka tiadalah kita di dunia. Jagalah dan peliharalah mereka selagi mana mereka masih hidup. Sesungguhnya redha Allah itu terletak pada redha ibu bapanya. Mereka telah menghabiskan masa mereka membesarkan kita. Inilah masanya untuk menabur budi.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Israk yabg ke 23 bermaksud: “Dan Tuhanmu telah
perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan
hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau
kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka
janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ. قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ
الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau
maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai
orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak
(menjadikannya sebab) masuk syurga.” [Riwayat Muslim (2551)] Ibu bapa adalah ladang untuk anak-anak mendapatkan pahala. Beruntunglah sesiapa yang masih ada ibu bapa. Kita juga akan tua dan menjadi warga emas nanti. Pastilah kita juga mahu agar kehidupan kita di masa depan akan terjamin dan dijaga dengan baik. Jika tiada ahli
keluarga maka jadi tanggungjawab masyarakat untuk membantu mereka.
Dr Afizah Salleh,
Pakar perunding Pembedahan Am
Hospital Pakar Annur
Ahli WARAK Writers Pool, PAPISMA.
Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian, USIM.
Exco Wanita Remaja dan Kanak kanak (WARAK)
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA).