Home Nasional Saftta harap Selangor juga beri inisiatif

Saftta harap Selangor juga beri inisiatif

Seorang pekerja hotel menolak troli yang kosong ketika tinjauan lensa Malaysia berkenaan sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
KUALA LUMPUR – Persatuan Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Selangor
(SAFTTA) menaruh harapan agar Kerajaan Selangor juga akan memberikan inisiatif
bersasar seperti Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) dan inisiatif yang telah diberikan oleh Johor, Kelantan, Sabah, Perak, Pahang dan beberapa negeri lain.
Presidennya, Dr Fathir Badri Alhadad berkata, jika Kerajaan Selangor bersetuju untuk memberikan inisiatif ini, ianya pasti  dapat membantu penggiat industri menyusun semula strategi perniagaan masing-masing yang telah sekian lama tidak dapat beroperasi.
Ia sekaligus akan meningkatkan kembali keupayaan dan kestabilan perniagaan mereka untuk tahun mendatang.
Dalam kenyataannya di sini, beliau berkata, SAFTTA  menyambut baik dan berterima kasih atas pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Pemerkasa yang mempunyai 19 inisiatif keseluruhannya.
SAFTTA juga menghargai usaha yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kerana telah berjaya meyakinkan kerajaan untuk membantu penggiat industri pelancongan yang sememangnya telah menerima impak yang paling besar sepanjang pandemik Covid-19 ini. – MalaysiaGazette