IPOH – Sepasang suami isteri maut manakala dua cucu mereka cedera selepas kereta dinaiki dipercayai bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan di Km 68.6 Jalan Raya Timur Barat selepas Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa di Gerik petang tadi.
Pasangan itu dikenali sebagai Muhamad Zaidi Mohamad Dahalan, 57, dan isterinya Rosmiza Mohd Zain, 51, masing-masing beralamat di Tanah Merah, Kelantan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian menimpa pasangan itu serta dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia enam dan lapan tahun itu pada pukul 3.59 petang.
“Kami segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik ke lokasi kemalangan sebaik menerima panggilan bagi kerja-kerja menyelamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dua kanak-kanak yang cedera ringan didapati telah dikeluarkan oleh orang awam, pasangan suami isteri itu kemudiannya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum diserah kepada pihak polis, manakala pemandu lori dilaporkan selamat.
Katanya, keempat-empat mereka yang menaiki kenderaan jenis Perodua Axia dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kelantan ke Kedah.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 8.40 malam dan pasangan yang meninggal dunia telah dibawa ke Hospital Gerik manakala dua kanak-kanak yang cedera dibawa ke Hospital Jeli, Kelantan untuk rawatan,” katanya. – Bernama