Home Utama Tiada cadangan perkenal cukai baharu

Tiada cadangan perkenal cukai baharu

unemployment rate MCO 3.0 MCO 1.0 Finance Minister Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz PIX: MalaysiaGazette
Tengku Zafrul Abdul Aziz

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan sebarang cukai baharu ketika ekonomi negara di ambang pemulihan selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menerangkan perkara itu memberitahu, kini bukan masa yang sesuai untuk memperkenalkan sebarang bentuk rejim cukai baharu.

Sebaliknya kata beliau, fokus kerajaan pada masa ini adalah untuk menghidup dan menstabilkan semula ekonomi.

“Kita percaya ketika ekonomi sedang di ambang pemulihan, ia bukan masa yang sesuai untuk memperkenalkan sebarang bentuk regim cukai baharu.

“Bagaimanapun, Kementerian Kewangan masih mengkaji semua jenis cukai untuk tingkat hasil negara. Saya berpandangan garis masa juga sangat mustahak sebelum keputusan mengenai regim percukaian baharu dimuktamadkan,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan pengenalan regim cukai baharu untuk meningkatkan pendapatan negara termasuk saranan memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan menjangkakan hasil negara akan meningkat sedikit tahun ini selaras dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 6.5 peratus hingga 7.5 peratus pada 2021.

Katanya, pada tahun lepas, pendapatan negara menurun akibat penguncupan KDNK tetapi, tahun ini dijangkakan ada sedikit pemulihan hasil kerajaan.

“Kita akan melihat semua jenis rejim cukai termasuk GST untuk tingkatkan hasil negara, tetapi selepas ekonomi pulih bukannya sekarang.

“Selepas ekonomi pulih, kerajaan akan kaji semula jalan terbaik untuk memiliki cukai sepatutnya bagi meningkatkan pendapatan negara,” ujarnya.

Sebelum ini, wujud saranan agar kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar tiga peratus selepas cukai nilai tambah itu dimansuhkan pada 2018.

Ia dikatakan menjadi langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan untuk menutup ketirisan hasil negara akibat aktiviti dalam pasaran ekonomi gelap.

GST atau VAT terbukti sistem cukai telus, pengenaan cukai secara meluas dan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan negara. – MalaysiaGazette