KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) diminta menyiasat scammer yang menyamar menjadi wakil bank, pejabat peguam, pejabat mahkamah dan juga syarikat telco dan menjadikan kakitangan kru kabin sebagai buruan mereka.
Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mendakwa aduan ini telah diterima sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu, ketika pekerja kru kabin banyak diberhentikan.
Namun, aduan itu semakin meningkat.
NUFAM mendakwa, ada kru kabin mengadu tentang scammer yang menyamar sehingga mahu mengeluarkan surat saman kepada mangsa tapi dengan syarat mangsa dapat selesaikan hutang dengan membayar ke akaun tertentu.
Ada pula menelefon mangsa dengan alasan mahu membantu menyelesaikan hutang bil mereka yang tertunggak.
NUFAM mendakwa mungkin penyamar ini mendapat maklumat mangsa dalam keadaan susah dan mempunyai pinjaman yang belum diselesaikan.
”Kami syak scammer ini tahu mangsa ini mungkin dalam keadaan tertekan dan mengambil peluang tersebut,” ujarnya dalam kenyataan di sini.
Ada juga scammer yang menawarkan untuk membantu mangsa menyelesaikan hutang tertunggak dalam tempoh 24 jam, ada pula yang mahu menawarkan bantuan pekerjaan dan meminta butir butir peribadi pekerja yang telah dihentikan.
”Ada pula agen ini akan menghubungi pejabat kami untuk mendapat maklumat untuk menawarkan bantuan pekerjaan tetapi apabila diperiksa dengan memanggil nombor yang diberikan, nombor itu pula tak aktif,” katanya.
Sekretariat NUFAM bimbang scammer ini mengambil kesempatan apabila mendapat maklumat peribadi mangsa.
Kata NUFAM, walaupun pihaknya telah menasihati ahli-ahli agar mereka berhati hati tetapi berharap SKMM menyiasat supaya masalah ini dapat dibendung lebih efektif. – MalaysiaGazette