PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah melantik seramai 25 orang individu mengganggotai Jawatankuasa Panel Pakar yang berperanan untuk memberi nasihat dan pandangan konstruktif terhadap dasar dan program yang dilaksanakan oleh kementerian.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, selain itu, jawatankuasa tersebut akan menjadi pelengkap kepada idea-idea baharu dalam pembangunan belia dan sukan negara serta membantu kementerian dalam aspek komunikasi dasar dan program- program strategi.
Jelas beliau, para panel juga akan melihat secara khusus pembangunan belia dan sukan dalam beberapa bidang utama seperti pembangunan ekonomi belia, pendigitalan dan Revolusi Industri 4.0.
Selain itu, ia juga melihat kepada pembangunan kemahiran dan latihan belia, pembangunan kapasiti, pendekatan sukan untuk semua dan Pembangunan Industri Sukan berlandaskan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.
“Pelantikan ini sebagai satu lagi kolaborasi strategik KBS dalam mendapatkan idea dan pandangan baru mengenai pembangunan belia dan sukan. Kita perlu akui bahawa dalam dunia yang begitu cepat, dihubungkan dengan teknologi ledakan, perubahan landskap geo-politik dunia dan sebagainya yang memberikan impak yang cukup besar.
“Adakalanya kita terlepas pandang dan tidak dapat mencerap dengan baik-perubahan ini. Justeru, Panel Jawatankuasa Pakar ini diharapkan akan dapat melengkapi, memberi nilai tambah dan seterusnya memperkuat langkah asas dan inisiatif kita untuk belia dan sukan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian surat pelantikan kepada Jawatankuasa Panel Pakar di sini hari ini.
Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah merupakan pengerusi jawatankuasa panel tersebut.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, kementerian yakin dengan pelantikan jawatankuasa yang sama terdiri daripada setiap individu yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang masing-masing.
Sementara itu, pelantikan panel-panel berkua kuasa pada 1 Januari lalu hingga 31 Disember ini.- MalaysiaGazette