Home Ekonomi Kerajaan jamin tindakan terhadap EU ikut prosedur WTO

Kerajaan jamin tindakan terhadap EU ikut prosedur WTO

Menteri Perusahan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali meluangkan masa melihat produk berasaskan minyak sawit ketika membuat lawatan kerja di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Bandar Baru Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 12 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk meneruskan proses perundangan terhadap Kesatuan Eropah (EU) berikutan kempen anti-minyak sawit.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini bagi memastikan kepentingan industri sawit negara merangkumi pekebun
kecil sawit sentiasa dijaga dan diutamakan.

Beliau memberi jaminan bahawa sebarang tindakan susulan akan diambil sewajarnya selaras dengan peraturan dan prosedur yang telah digariskan di bawah Organisasi Perdagangan Dunia (WTO).

“Sesi konsultasi ini antara lain adalah platform bagi mendapatkan penjelasan dan pemahaman lanjut berhubung tindakan EU terhadap pelaksanaan Delegated Regulation di bawah EU RED II.

“Selain itu, ia juga merupakan salah satu usaha ke arah penyelesaian kepada isu-isu yang dilihat sebagai diskriminasi ke atas minyak sawit negara yang dibangkitkan oleh Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu beliau berkata, kementeriannya akan meneliti keseluruhan maklum balas dan penjelasan yang diberikan oleh EU sepanjang sesi konsultasi secara maya pada 17 Mac lalu.

Konsultasi berkenaan diadakan susulan permohonan kerajaan sebelum ini supaya ia diadakan melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian atau Dispute Settlement Mechanism (DSM) di bawah WTO.

Delegasi Malaysia diwakili oleh Mohd Khairuddin dan wakil KPPK, Jabatan Peguam Negara (AG), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Luar Negara (KLN), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan agensi lain berkaitan.

Turut hadir wakil dari Indonesia dan Colombia sebagai negara pemerhati. – MalaysiaGazette