Home Nasional NAFAS jamin bekalan benih padi mencukupi

NAFAS jamin bekalan benih padi mencukupi

Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) didakwa akan mengubah semula sistem pengedaran benih padi kepada sistem lama.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS)
komited memastikan benih padi sah yang diterima pesawah bukan sahaja berkualiti, tetapi harga terkawal serta bekalan sentiasa mencukupi di pasaran.

Dalam satu kenyataan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu memaklumkan, pihaknya memberi jaminan mampu membekalkan benih padi sah dari pelbagai pilihan yang diperlukan pesawah bagi seluas 520,000 hektar kawasan penanaman padi di Semenanjung Malaysia.

Mengikut rekod, stok benih padi sah yang telah disahkan oleh Jabatan Pertanian adalah sebanyak 9,000 tan metrik dan yang sedang dalam proses pengesahan adalah sebanyak 39,000 tan metrik.

“Jumlah berkenaan melebihi keperluan semasa iaitu 36,000 tan metrik bagi satu musim penanaman padi.

“Sehubungan itu, pesawah di seluruh negara adalah diharap tidak gusar atas kemampuan NAFAS dalam memastikan bekalan benih padi sah adalah mencukupi untuk keperluan penanaman padi,” katanya.

Menurut NAFAS, pihaknya memainkan peranan besar dalam memastikan industri padi negara dapat berkembang sekaligus memenuhi permintaan pasaran.

Jelasnya, NAFAS juga komited memastikan benih padi sah yang diedarkan adalah berkualiti, seterusnya memastikan bekalan benih padi sah ada dalam pasaran dengan harga kurang RM35 bagi setiap beg.

Harga siling RM35 bagi setiap 20 kilogram yang telah ditetapkan kerajaan mampu mengatasi isu manipulasi harga.

Tambahnya, pelantikan NAFAS sebagai pemborong tunggal dalam pembelian benih padi sah ini dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan untuk membanteras pelbagai isu dan permasalahan benih padi sah yang dialami pesawah sebelum ini.

Sehingga 12 Mac, sebanyak 212,666 beg bersamaan 4,253.32 tan metrik sudah diedarkan oleh ejen rasmi melalui Pertubuhan Peladang Kawasan di Semenanjung Malaysia.

Anggaran keperluan untuk benih padi sah dalam tempoh setahun adalah sebanyak 72,000 tan metrik bersamaan 3.6 juta beg untuk keluasan 520,000 hektar di Semenanjung Malaysia, katanya. – MalaysiaGazette