Home Nasional Pahang kini benarkan majlis ilmu di surau, masjid – MB

Pahang kini benarkan majlis ilmu di surau, masjid – MB

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerima suntikan dos kedua vaksin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.Pahang hari ini.-pix FB Wan Rosdy.

KUANTAN – Kerajaan Pahang telah melonggarkan lagi beberapa perkara berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi aktiviti keagamaan termasuk kebenaran menganjurkan kuliah dan majlis ilmu di surau dan masjid.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelonggaran itu mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut Wan Rosdy, ia berkuatkuasa hari ini sehingga dimaklumkan namun bergantung kepada keadaan semasa situasi penularan wabak pandemik Covid-19 di negeri itu.

“Jika sebelum ini hanya kuliah Maghrib dan tazkirah Subuh sahaja dibenarkan tetapi kini pelbagai program majlis ilmu lain termasuk jamuan selepas kuliah dan majlis ilmu ini juga kini dibenarkan.

“Kini kuliah Dhuha, kuliah sebelum solat Jumaat, kelas al-Quran dan fardhu ain, Kelas Tafaqquh Fid-din anjuran Yayasan Pahang dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang serta bacaan Yasin dan tahlil,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain itu, menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri juga turut membenarkan kehadiran pada majlis akad nikah di masjid dengan berdasarkan ruang yang ditetapkan berbanding sebelumnya kehadiran itu terhad kepada hanya 20 orang sahaja.

Peraturan terdahulu yang hanya membenarkan kanak-kanak  berumur 12 tahun ke atas mengerjakan solat Jumaat dan solat fardhu  kini kanak-kanak tujuh tahun dan ke atas juga telah dibenarkan.

“Perkara-perkara lain berkaitan SOP sedia ada seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan membawa sejadah sendiri, hendaklah terus diamalkan.” kata Wan Rosdy.

Terdahulu, Wan Rosdy  dan barisan kepimpinan kerajaan negeri juga menerima suntikan dos kedua dalam Program Imunisasi Covid-19 dan melancarkan Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP) di sini hari ini.

Dalam sidang media selepas itu, Menteri Besar berkata, bagi memudahkan lebih ramai rakyat mendaftar untuk suntikan vaksin, kerajaan negeri telah membangunkan SICP di mana aplikasi yang ditambah baik melalui MySejahtera dan laman sesawang atau hotline sedia ada.

Sehubungan itu, kerajaan negeri juga menyediakan data bagi 360,000 calon penerima dan dimasukkan ke dalam SICP melibatkan warga emas 60 tahun dan ke atas, orang kelainan upaya dan pesakit kronik bagi fasa 2 yang bermula April ini.

Selain itu aplikasi SICP menyediakan 12 talian untuk urusan kemasini data, menukar temu janji atau semakan penerima vaksin. – MalaysiaGazette.