JELI, 20 Mac — Seramai 389,177 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sudah menerima dos pertama vaksin setakat 19 Mac.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata jumlah tersebut menunjukkan program tersebut berada dalam landasan tepat untuk mencapai sasaran 500,000 individu dalam kumpulan petugas barisan hadapan yang akan menerima suntikan sehingga April depan.
Dalam pada itu, lebih 5.9 juta orang telah mendaftar untuk menerima vaksin setakat 19 Mac, katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan projek siap Pejabat Kesihatan Daerah Jeli, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai program vaksinasi di Kelantan, Noor Azmi berkata seramai 19,630 telah menerima vaksin daripada 21,645 sasaran program vaksin fasa pertama sehingga akhir April ini.
“Di Kelantan, program vaksinasi fasa pertama sudah mencapai lebih 88 peratus, ini sangat bagus namun begitu 151 orang tidak hadir semasa proses vaksinasi. Kita akan dapatkan maklumat mengapa mereka tidak hadir.