Home Dunia Denmark terima laporan penerima vaksin AstraZeneca alami darah beku

Denmark terima laporan penerima vaksin AstraZeneca alami darah beku

Vaksin AstraZeneca . foto agensi
COPENHAGEN – Seorang warga Denmark meninggal dunia manakala seorang lagi mengalami darah beku dan pendarahan serebrum setelah menerima vaksinasi AstraZeneca Covid-19.
Kedua-duanya, kakitangan hospital telah menerima vaksin AstraZeneca kurang daripada 14 hari sebelum jatuh sakit, kata pihak berkuasa yang mengendalikan hospital awam di Copenhagen.
Agensi Ubat-ubatan Denmark mengesahkan telah menerima dua “laporan serius”, tanpa memberikan keterangan lebih lanjut.
Setakat ini tiada butiran terperinci bila kakitangan itu jatuh sakit.
Denmark, yang menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca pada 11 Mac lalu, antara negara yang menghentikan sementara penggunaan vaksin itu setelah laporan kes pembekuan darah otak yang menyebabkan para saintis dan kerajaan bergegas mengesan kaitannya.
Beberapa negara termasuk Jerman dan Perancis minggu ini membatalkan keputusan mereka untuk menangguhkan penggunaan vaksin berikutan siasatan terhadap laporan pembekuan darah oleh pengawas dadah Kesatuan Eropah mendapati manfaat vaksin itu melebihi risiko.
Denmark bersama-sama Sweden dan Norway – memaklumkan pada hari Jumaat bahawa mereka memerlukan lebih banyak masa untuk memutuskan sama ada akan menggunakan vaksin tersebut.
”Kami mengutamakan laporan mengenai kesan sampingan serius seperti ini dan memeriksanya secara menyeluruh untuk menilai sama ada terdapat kemungkinan ada kaitan dengan vaksin.
“Kami dalam proses menangani dua kes khusus,” kata Tanja Erichsen, Pemangku Pengarah Farmakovigilance di Badan Perubatan Denmark.
Pengarah Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA), Emer Cooke mengatakan pengawas selia tidak dapat secara pasti menolak hubungan antara insiden pembekuan darah dan vaksin dalam penyelidikannya terhadap 30 kes keadaan pembekuan darah yang jarang berlaku.
Tetapi katanya, kesimpulan kajian yang “jelas” adalah bahawa manfaat dalam melindungi orang dari risiko kematian atau rawatan hospital melebihi kemungkinan risiko.
Isu itu memerlukan analisis lebih lanjut, kata EMA.
AstraZeneca, yang membangunkan vaksin itu dengan Universiti Oxford, mengatakan tinjauan yang merangkumi lebih daripada 17 juta orang yang telah menerima vaksin di EU dan Britain tidak menemui bukti peningkatan risiko pembekuan darah. – MalaysiaGazette